Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 260 kes baharu direkodkan hari ini sekali gus merekodkan kes harian kedua tertinggi pernah dicatatkan di negara ini.

Jumlah ini menjadikan keseluruhan kes kepada 11,484 dengan kes aktif sebanyak 1,334.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 260 kes baharu direkodkan, hanya satu kes import direkodkan dari United Kingdom membabitkan pengembara bukan warganegara dilaporkan di Kuala Lumpur.

"Daripada 259 kes penularan dalam negara, 118 kes dilaporkan di Sabah, Kedah (98 kes), Kuala Lumpur (13 kes), Selangor (13 kes), Johor (lima kes), Putrajaya (lima kes), Terengganu (dua kes), Perlis (dua kes), Melaka (satu kes), Pahang (satu kes) dan Pulau Pinang (satu kes).

Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah.

"Daripada jumlah itu, 130 kes membabitkan individu tempatan, manakala 129 individu bukan warganegara dengan 31 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sekali gus menjadikan jumlah kes mempunyai sejarah ke negeri terbabit adalah 119 kes," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 47 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 10,114 kes atau 87.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 136 kes atau 1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:19 PM