GAMBAR hiasan. FOTO FAIZ ANUAR
GAMBAR hiasan. FOTO FAIZ ANUAR
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Sebanyak 2,276 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dicatatkan hari ini, melebihi kes baharu iaitu 1,745 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 280,707 kes atau 91.8 peratus manakala kes kes baharu berjumlah 305,880 kes.

Beliau berkata, daripada daripada 1,745 kes baharu dicatatkan hari ini, dua daripadanya adalah kes import yang membabitkan warga asing.

"Manakala penularan kes tempatan adalah 1,743 kes iaitu 1,037 warganegara (59.5 peratus) dan 706 bukan warganegara (40.5 peratus).

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 24,025 kes. Pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 195 kes termasuk 95 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Terdapat tujuh kes kematian direkodkan hari ini menjadikan 1,148 kes kematian kumulatif atau 0.38 peratus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tujuh kematian itu membabitkan enam warganegara dan seorang bukan warganegara.

Menurutnya, kes kematian itu membabitkan dua kes di Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes di Selangor, Sarawak, Sabah, Johor, dan Kelantan.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 640 kes (36.7 peratus) membabitkan 503 kes (78.6 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Johor sebanyak 376 kes (21.5 peratus) dan Sarawak sebanyak 139 kes (8.0 peratus)," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 47 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara.

Menurutnya, kluster penjara berkenaan ialah Kluster Telok Mas (20 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13 kes), Kluster Damai Pelangi (13 kes), dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (satu kes).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:11 PM