Ibrahim dan  Robiah gembira  menerima sumbangan di Kampung Semiar, Jeneri.
Ibrahim dan Robiah gembira menerima sumbangan di Kampung Semiar, Jeneri.
Oleh Nor Farhani Che Ad


KEGIGIHAN seorang bapa tunggal membesarkan tiga anak termasuk dua anak angkat yang seorang daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU) menyentuh perasaan ahli rombongan program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM) 2020.

Kunjungan disertai Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Nazlee Khalifah disambut bapa tabah itu, Syed Abdullah Nik, 48, bersama anak angkatnya, Muhammad Saffik Abdullah, 21, di hadapan pintu rumah mereka di Keda Sungai Semiar, Jeneri Kedah.

Syed Abdullah memikul tanggungjawab itu selepas kematian isteri, Zaiton Abu Bakar pada November tahun lalu akibat penyakit kencing manis kronik.

Difahamkan, dia yang bekerja sebagai penoreh getah hanya dapat ke kebun pada hujung minggu berikutan dua anaknya Fatin Nurunjannah, 6, dan Awis Alkarni, 14, tidak bersekolah dan turut membantu menjaga Muhammad Saffik.

"Jika ada kelapangan saya ambil upah buat sangkar burung dan jual pada harga RM15 selain menjerat burung merbuk untuk menambah pendapatan.

"Alhamdulillah, saya juga dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 di bawah Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT) serta dari Pejabat Zakat Daerah Sik RM200 sebulan," katanya.

Kunjungan itu simbolik penyerahan bantuan kepada 159 penerima Kotak Rezeki TKHM 2020 dengan kerjasama Affin Islamic Bank Berhad.

Program ini turut menyasarkan golongan kurang mampu bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Nazlee ( kiri) dan  Husain  mengangkat kotak rezeki ke  rumah  penerima.
Nazlee ( kiri) dan Husain mengangkat kotak rezeki ke rumah penerima.

Dalam kunjungan itu, empat rumah penerima di sekitar Jeneri turut dilawati iaitu Hatmah Awang, Ibrahim Bakar, Chik Abdullah dan Md Piah Ali.

Syed Abdullah bersyukur dengan bantuan diterima kerana dapat meringankan beban belanja dapur serta keperluan mereka sekeluarga.

"Upah menoreh saya dapat hanya RM20 sehari. Alhamdulillah, syukur atas bantuan ini.

"Barang keperluan ini dapat digunakan kami empat beranak selama beberapa hari dan wang saya boleh beli lampin pakai buang Muhammad Saffik," katanya.

Sementara itu, Ibrahim Bakar, 68, terharu apabila terpilih sebagai penerima sumbangan.

Katanya, biarpun hanya tinggal berdua bersama adik, Robiah, 62, sumbangan itu cukup bermakna.

"Selalu adik bongsu datang beli keperluan kerana kami tidak bekerja dan hanya harap bantuan JKM.

"Dengan bantuan ini, adik bongsu tidak perlu beli barangan untuk beberapa hari dan wang boleh saya simpan untuk keperluan akan datang," katanya.

Perasaan sama dikongsi, Md Piah Ali, 85, yang tidak boleh berjalan sejak enam tahun lalu selepas terbabit nahas jalan raya dan kini berkerusi roda.

Warga emas yang tinggal di Kampung Padang Pulut, Jeneri bersama isteri uzur berkata, sumbangan berkenaan amat bermakna.

Dia terharu apabila ada pihak sudi menziarahi mereka, malah mengubat kesunyian.

"Anak cucu ada datang, tapi tetap rasa sunyi. Dahulu saya boleh keluar bawa isteri ziarah ahli keluarga dan kawan, namun sejak kemalangan saya tidak mampu berjalan.

"Kesihatan isteri juga merosot, jadi kami hanya berada di rumah. Kadang-kadang saya tolak kerusi roda ambil angin sekitar kampung," katanya.

Dalam pada itu, Md Piah bersyukur menerima bantuan yang disifatkan sebagai rahmat besar.

Menurutnya, selain dibantu anak, dia turut menerima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah skim Bantuan Orang Tua sebanyak RM350 sebulan.

Syed Abdullah  bersama anak angkatnya, Muhammad Saffik.
Syed Abdullah bersama anak angkatnya, Muhammad Saffik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 7:01 AM