Yusmizal Dolah Aling


Temerloh: Kegembiraan terpancar di wajah penerima bantuan program Titipan Kasih Khas Harian Metro bersama Milo di Dewan Seri Songsang, di sini, hari ini.

Mereka bersyukur kerana dapat meringankan beban ditanggung terutama ketika sesi persekolahan dibuka baru-baru ini.

Norliza Silong, 54, berkata, sumbangan itu amat bermakna untuk tiga anaknya yang masih bersekolah dan ia mengurangkan beban untuk membiayai persekolahan.

"Bagi saya ia sangat membantu. Walaupun nampak sikit, tapi pada saya ia begitu banyak.

"Tambahan dalam keadaan sekarang dengan wabak Covid-19, saya pula bekerja seorang kerana suami diserang angin ahmar. Terima kasih Harian Metro dan Milo," katanya.

Sumbangan disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Temerloh, Sri Yanti Asah, Penghulu Mukim Songsang Abdul Halim Abdul Samad dan Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz.

Seorang lagi penerima, Abdullah Latif, 59, berkata dia yang bekerja sendiri, hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300.

Disebabkan itu, dia berterima kasih kerana bantuan beg, baucar dan Kotak Rezeki.

"Bekerja sendiri berapalah sangat pendapatan. Bila dimaklumkan saya salah seorang penerima bersama tiga orang anak, saya terharu dan bersyukur," katanya.

Bagi Indra Chillia, 35, bantuan berkenaan dapat menampung perbelanjaannya selepas suaminya tidak bekerja akibat asma.

Katanya, dia perlu menanggung tujuh anak apabila suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah diserang penyakit itu tiga bulan lalu.

"Terima kasih dengan bantuan ini. Saya begitu menghargainya," katanya.

HUSAIN (dua kiri) bersama Abdul Halim (kiri) dan Sri Yanti (kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima, Juniza Jamaludin di kediamannya. FOTO Saifullizan Tamadi.
HUSAIN (dua kiri) bersama Abdul Halim (kiri) dan Sri Yanti (kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima, Juniza Jamaludin di kediamannya. FOTO Saifullizan Tamadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 1:29 PM