Nor Farhani Che Ad


BANTUAN menerusi program Titipan Kasih Khas Harian Metro 2020 (TKHM) di sekitar daerah Sik disifatkan memberi sinar meneruskan kelangsungan hidup bagi penerima.

Salah seorang penerima, Muhamad Shahaimi Abdul Wahab, 42, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, harga getah yang tidak menentu ketika ini menyebabkan dia terpaksa mencari sumber pendapatan lain bagi menampung keluarganya.

"Saya ada ambil upah menebas rumput dan menabur baja dan saya juga ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450, dengan sumber kewangan itu saya gunakan untuk menyara keluarga termasuk empat anak yang masih bersekolah.

"Bantuan yang diterima menerusi program ini cukup melegakan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan membeli keperluan harian," katanya.

Bagi ibu tunggal Zuraidah Hussin, 42, berkata kesempitan hidup membesarkan dua anak selain menjaga ibu yang uzur serta abang yang berstatus orang kurang upaya (OKU) menyebabkan ada masanya dia berasa sedikit tertekan.

Katanya, hasil menoreh getah yang diterimanya kurang daripada RM20 sehari menyebabkan dia terpaksa berjimat cermat menggunakan sumber kewangan yang ada.

"Abang ada terima bantuan JKM, manakala untuk keperluan saya, anak dan ibu, kami gunakan apa yang ada.

"Alhamdulillah, bantuan yang diberikan memberi nafas untuk saya menyelesaikan apa yang patut seperti bayaran peperiksaan sekolah anak dan sebagainya," katanya.

Warga emas yang juga balu, Che Siah Yahaya, 65, berkata bantuan kewangan yang diterima akan disimpan bagi keperluan kecemasan dia dan ibunya, Ah Abdullah, 91.

"Kami hanya tinggal berdua, tambahan pula saya sudah tidak mampu bekerja, jadi wang yang diterima akan disimpan untuk kegunaan akan datang," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Kedah, Azmi Abd Karim (tiga dari kanan) serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (dua dari kiri) beramah mesra dengan Md Piah Ali yang menerima sumbangan pada Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Padang Pulut, Jeneri. FOTO AMRAN HAMID
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri Kedah, Azmi Abd Karim (tiga dari kanan) serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (dua dari kiri) beramah mesra dengan Md Piah Ali yang menerima sumbangan pada Program Titipan Kasih Harian Metro di Kampung Padang Pulut, Jeneri. FOTO AMRAN HAMID

Dalam program yang diadakan, seramai 159 penerima menerima bantuan 'Kotak Rezeki' yang mengandungi barangan keperluan serta menerima sumbangan wang tunai.

Simbolik penyampaian dilakukan dengan penyerahan ke lima buah rumah penerima serta penyerahan kepada 10 penerima di sebuah hotel di sini.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit, berkata, kerjasama kali keempat bersama Affin Islamic Bank itu menyantuni penduduk Sik dengan bantuan yang diharap dapat meringankan beban mereka.

Katanya, ia termasuklah mereka yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 10:07 AM