Yusmizal Dolah Aling dan Nor Farhani Che Ad


AFFIN Islamic Bank Berhad komited untuk meneruskan kerjasama dengan Harian Metro menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazlee Khalifah berkata, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan perjalanan program TKHM khas yang diadakan di Sik hari ini.

Katanya, penganjuran yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu disifatkan berjaya dan kena pada masanya.

"Insya Allah kita akan teruskan lagi kerjasama dengan Harian Metro menerusi TKHM sebagai tanggungjawab sosial korporat bagi membantu golongan memerlukan.

"Saya berpuas hati dengan penganjuran TKHM ini dan Insya Allah selepas ini kita akan lihat keperluan lain untuk membantu penerima melonjak ekonomi dengan mengenal pasti kepakaran yang ada.

"Kita akan buat program yang sama seperti ini dengan bantuan agensi kerajaan supaya ia sampai kepada golongan sasar," katanya.

NAZLEE Khalifah (kanan) menerima cenderamata daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit sambil disaksikan oleh Azmi Abd Karim (tengah)  pada Program Titipan Kasih Harian Metro di Hotel Sik Inn. FOTO Amran Hamid
NAZLEE Khalifah (kanan) menerima cenderamata daripada Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit sambil disaksikan oleh Azmi Abd Karim (tengah) pada Program Titipan Kasih Harian Metro di Hotel Sik Inn. FOTO Amran Hamid

Nazlee berkata, pihaknya berharap bantuan barangan keperluan dan wang tunai yang diberikan dapat membantu meringankan beban penerima.

"Hari ini kita beri bantuan dan wang tunai. Kita nampak ada yang ada kepakaran.

"Kalau boleh kita nak bantu mereka komersilkan dengan beri peralatan. Kita akan lihat secara serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 5:16 PM