Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: "Mereka yang kehilangan kerja, terputus bekalan atau amat memerlukan boleh mengambil barangan ini untuk meringankan beban dan meneruskan kehidupan."

Begitu kata Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd Datuk Kadhar Shah Abdul Razak yang mewujudkan Nasmir Food Bank bagi membantu orang ramai yang terjejas kehidupan mereka.

Kadhar Shah berkata, walaupun perniagaan hotel dan restoran nasi kandar kendaliannya turut terjejas, aktiviti kebajikan bagi membantu individu memerlukan tetap diteruskan.

"Kita mewujudkan bank makanan ini apabila menyedari ramai yang terkesan kerana kehilangan pekerjaan atau atas faktor lain.

"Pada masa sama, kita juga bersedia menawarkan pekerjaan kepada mana-mana penerima bantuan berdasarkan kelayakan serta kesesuaian," katanya.

Antara yang hadir mengambil barangan keperluan pada program Nasmir Food Bank di Restoran Nasi Kandar Nasmir di Auto City, Juru. FOTO DANIAL SAAD
Antara yang hadir mengambil barangan keperluan pada program Nasmir Food Bank di Restoran Nasi Kandar Nasmir di Auto City, Juru. FOTO DANIAL SAAD

Bank makanan ini dibuka selama 20 hari atau bergantung kepada stok yang ada bermula 2 petang hingga 6 petang.

Sementara itu, penerima, Robinah Mat Isa, 55, berkata dia meminjam motosikal jirannya untuk datang mendapatkan bantuan sambil ditemani oleh kakak angkatnya, Anisah Ariffin, 61.

"Saya mempunyai lima anak dan suami pula hampir sebulan tidak bekerja menyebabkan kami amat memerlukan bantuan seumpama ini untuk meringankan beban.

"Terima kasih kerana menganjurkan program amat bermakna ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:41 PM