Noorazura Abdul Rahman

BEKAS pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof merealisasikan hasratnya melakukan kebajikan untuk pembangunan umat Islam dengan membuka rumah mengaji al-Quran percuma bermula 9 pagi hingga 10 malam, hari ini.

Tenaga pengajar, Muhammad Asyraf Amiruddin, 21, berkata, beliau ditugaskan oleh Azmeer untuk mengajar al-Quran kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari bacaan kitab suci itu di Tongkang Yard, Alor Setar.

Katanya, masa pengajian dipanjangkan bagi meraikan pelajar yang datang daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang terutama mereka yang bekerja.

"Ia bagi membolehkan sesiapa sahaja dapat memilih masa sendiri untuk belajar di sini kerana kita faham kekangan masa golongan yang berkerja

"Ada yang datang ialah kanak-kanak berusia 7 tahun dan ada warga emas berusia lebih 60 tahun, ada juga golongan peniaga serta profesional, mereka boleh bermula daripada alif, ba, ta atau terus membaca al-Quran," katanya ketika ditemui di pusat berkenaan di Alor Setar, hari ini.

Asyraf, berkata dia sangat bertuah dapat membantu Azmeer melakukan kerja amal bekas pemain bola sepak itu yang merupakan jirannya dahulu.

Katanya, rumah itu menyediakan al-Quran dan rehal kepada pelajar namun tetap menggalakkan pelajar membawa al-Quran sendiri bagi memudahkan mereka menanda helaian yang dibaca.

Sementara itu pelajar, Shabani Said, 37, berkata, dia mula belajar di situ sejak Mac lalu namun ketika itu ia dihadkan masa pada 9 hingga 11 pagi.

"Hari ini bermula 9 pagi hingga 10 malam, saya sangat gembira apabila pihak Azmeer melanjutkan masa sehingga malam, saya boleh datang sebelum saya berniaga atau selepas balik berniaga.

"Alhamdulillah di sini, saya dapat mempelajari bacaan yang betul, Ustaz Asyraf mengajar dan menegur bacaan dengan baik, saya sangat berterima kasih kepada Azmeer kerana memberi peluang kepada orang ramai belajar di sini secara percuma," katanya yang tinggal berhampiran rumah mengaji berkenaan.

Khamis lalu, Azmeer mengumumkan beliau mengundur diri daripada mewakili skuad Lang Merah musim ini.

Berita berkaitan:

  • Azmeer tak gantung but
  • Aidil puji komitmen Azmeer
  • 'Selamat tinggal Lang Merah'
  • Azmeer mahu bina Pusat Pengajian Islam
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 2:29 PM
    MUHAMMAD Asyraf ditugaskan untuk mengajar orang ramai yang mahu belajar al-Quran secara percuma di rumah mengaji milik bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar.FOTO Noorazura Abdul Rahman
    MUHAMMAD Asyraf ditugaskan untuk mengajar orang ramai yang mahu belajar al-Quran secara percuma di rumah mengaji milik bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof di Tongkang Yard, Alor Setar.FOTO Noorazura Abdul Rahman