AZMEER Yusof. FOTO Ihsan KFA
AZMEER Yusof. FOTO Ihsan KFA
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Jika anda mahu belajar mengaji Al-Quran secara atas talian, anda boleh menghubungi bekas pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof.

Bekas pemain berusia 31 tahun itu, yang membina Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY) di sebidang tanah di Tongkang Yard, Alor Setar sejak tahun lalu, menawarkan pembelajaran secara atas talian berikutan penutupan sekolah sejak dua bulan lalu.

"Operasi kami sekarang hanya secara online. Jika dapat kebenaran daripada kerajaan baru akan meneruskan semula pembelajaran secara bersemuka," katanya ketika dihubungi merujuk kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19.

Azmeer menjelaskan sambutan yang diterima setakat ini amat memberangsangkan kerana ramai yang boleh menyertai pengajian secara atas talian.

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu, yang kini menetap di Negeri Jelapang Padi selepas bersara, mendedahkan bagaimana pada awalnya beliau terdetik untuk membuka pusat pengajian secara percuma.

"Pada awalnya saya ingin mengaji dan berguru seorang diri. Tapi lama kelamaan saya berasa bosan dan terdetik untuk mengajak 10 orang lagi. Selepas itu semakin ramai yang memohon untuk turut serta. Akhirnya, saya buka terus kepada umum sesiapa saja boleh datang untuk mengaji tanpa bayaran," katanya.

Menurutnya, pusat pengajian itu dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini tetapi sekadar bangunan satu tingkat sahaja. "Tingkat dua mungkin mengambil masa sikit."

Beliau menyatakan kos operasi pusat pengajian itu ketika ini adalah menerusi sumbangan orang ramai termasuk untuk membayar gaji tenaga pengajar ustaz dan ustazah serta pembinaan bangunan baru.

"PPAY sekarang sedang dalam perancangan untuk membuat 10 pintu yang akan disewakan kepada yang berminat," katanya yang mendedahkan setakat ini pusat pengajian itu berjaya membantu lima pelajar khatam Al-Quran pada hujung tahun lalu.

Selain bergiat cergas dalam dakwah Islamiah menerusi akaun Facebook dan Instagram miliknya, Azmeer menjalankan perniagaan menjual barangan termasuk seluar sukan dan mempunyai kedai gunting rambut AY Barber Shop di Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 1:45 PM