AZMEER di depan bangunan PPAY di Tongkang Yard, Alor Setar. FOTO Ihsan Facebook Azmeer Yusof
AZMEER di depan bangunan PPAY di Tongkang Yard, Alor Setar. FOTO Ihsan Facebook Azmeer Yusof
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof yang mengasaskan sebuah pusat pengajian al-Quran di Alor Setar, berasa kesal dengan sesetengah pihak yang melabelnya sebagai 'si penunggang agama'.

Azmeer, 31, mendedahkan mengenai perkara itu dalam laman Facebook miliknya namun beliau sebaliknya mengajak mereka yang melontarkan tohmahan kepadanya supaya tampil menyertai kelas mengaji percuma yang disediakannya.

"Kepada yang selalu anggap saya 'si penunggang agama', Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY) sentiasa terbuka untuk anda. Apa yang saya buat ini mungkin tidak memberi manfaat kepada anda, tapi PPAY ini boleh memberi manfaat kepada orang ramai, Insya-Allah.

"Sejahat mana pun saya, sejahat mana pun manusia, tetap akan ada kebaikan. Jangan terlalu lantang bersuara sehinggakan kita lupa semua manusia buat dosa. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menghulurkan bantuan. Insya-Allah pahala akan mengalir buat kalian selagi mana bangunan ini digunakan," tulisnya.

Selepas tergendala seketika disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, beliau meneruskan kelas pengajian al-Quran di PPAY cawangan Tongkang Yard dan Kuala Kedah sejak 3 Oktober lalu.

"Jom isi masa kita dengan al-Quran. Terlalu banyak manfaat apabila kita bersahabat baik dengan al-Quran. Di PPAY bacaan al-Quran tidak berat. Saya menggunakan kaedah read & go. Dalam erti kata lain korang datang PPAY baca sekurang-kurangnya satu muka surat, kemudian korang terus boleh balik.

"Mudahkan? Jadi jangan lepaskan peluang untuk membaca al-Quran secara bersemuka dengan ustaz atau ustazah. Ustaz atau ustazah yang saya sediakan Insya-Allah akan membetulkan bacaan dan tajwid sebaik mungkin. Saya harap sangat semua orang terbuka hati untuk membaca al-Quran," tulis bekas pemain Kuala Lumpur, Proton FC, Perak, Pos Malaysia, Negeri Sembilan, Tentera dan Kedah itu.

Ketika musim PKP beliau mengadakan kelas pengajian al-Quran secara atas talian namun kini semuanya secara bersemuka.

Cawangan Tongkang Yard dikhususkan untuk pelajar lelaki manakala di Taman Bersatu, Kuala Kedah bagi pelajar wanita

"Janganlah kita hantar anak saja mengaji ye, kita sendiri pun kenalah mengaji sama," katanya yang bersara tahun lalu sebelum memutuskan untuk menetap di Kedah dan membuka perniagaan kedai gunting rambut serta jualan barangan sukan atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 12:11 PM