WARGA Arab Saudi beratur untuk pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahad, Riyadh.
WARGA Arab Saudi beratur untuk pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahad, Riyadh.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik


LEBIH 600 jururawat tidak sabar memulakan tugas dan masih lagi ternanti-nanti khabar gembira untuk pulang ke Arab Saudi selepas terkandas di Malaysia akibat Covid-19 sejak tiga bulan lalu.

Sukarelawan komuniti rakyat Malaysia di Arab Saudi, Muhammad Amran Azizan berkata, kumpulan jururawat berkenaan adalah mereka yang pulang ke tanah air untuk bercuti dan dijangka pulang ke Arab Saudi pada Mac lalu.

Katanya, berikutan penggantungan penerbangan antarabangsa dan perintah berkurung di negara terbabit menyebabkan golongan itu terkandas di tanah air dan terpaksa bersusah payah meneruskan kelangsungan hidup.

"Ramai antara kami tidak boleh meminta kerja termasuk membantu petugas barisan hadapan dalam negara kerana terikat dengan kontrak perjanjian majikan masing-masing di Arab Saudi.

"Disebabkan itu, ramai terpaksa melakukan pelbagai kerja yang lari dari bidang demi menampung perbelanjaan dan membayar komitmen bulanan disebabkan tiada pendapatan sepanjang tempoh itu.

"Ada antara kami mengalami tekanan emosi, malah ada yang tidak mampu membayar komitmen terutama apabila pasangan mereka diberhentikan kerja kerana kesan Covid-19," katanya.

Menurutnya, pihaknya menjejaki jururawat Arab Saudi yang terkandas di Malaysia bagi mengumpul data sebenar mereka sejak pertengahan April lalu.

"Kami berjaya mengumpul data jururawat terkandas dalam tempoh 14 hari sebelum menghantar senarai nama kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut pada Mei lalu.

"Malah, kami sentiasa berhubung dengan pihak kerajaan Arab Saudi termasuk diminta mengemas kini status keberadaan dan bilangan kami dalam laman sesawang Kementerian Luar Arab Saudi.

"Kami berharap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu mempercepatkan kepulangan kami ke Arab Saudi untuk meneruskan kerjaya kami sekali gus membantu rakan-rakan petugas barisan hadapan di sana," katanya.

Amran Azizan
Amran Azizan

KISAH 1

"Macam-macam saya buat asalkan ada pendapatan termasuk menjual kurma dari Arab Saudi.

"Pertengahan bulan puasa pula, saya berniaga barangan basah dengan menawarkan penghantaran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor," kata Muhammad Amran Azizan, 30.

Menurut Amran yang bertugas di sebuah hospital kerajaan di Riyadh, dia sepatutnya dijadualkan pulang ke negara itu pada 27 Mac lalu selepas bercuti sejak 28 Februari lalu.

"Penerbangan pertama saya terpaksa dibatalkan. Saya membeli tiket kedua untuk penerbangan 1 April namun saya dimaklumkan ia juga dibatalkan kerana penerbangan antarabangsa masih digantung.

"Pada masa sama, saya diminta mengemas kini status terkini dengan pihak jabatan sumber manusia tempat saya bekerja," katanya yang menetap di Selayang Baru.

Katanya, sepanjang tempoh itu hingga kini dia menceburi bidang perniagaan demi kelangsungan hidup.

"Saya ceburi bidang yang tidak pernah saya buat langsung sebelum ini iaitu berniaga ikan, ayam dan daging selepas dicadangkan rakan.

"Saya terpaksa buat pekerjaan ini walaupun pada mulanya saya tidak tahu bagaimana hendak siang atau potong ikan kerana hampir tiga bulan tidak dapat gaji.

"Seawal jam 3 pagi saya sudah bangun dan biasanya pulang lewat 11 malam," katanya yang mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sehari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta RM300 hingga RM600 sehari pada masa kini.

Nur Asykin Md Rashid
Nur Asykin Md Rashid

KISAH 2

Nur Asykin Md Rashid, 32, memanfaatkan kemahiran memasak dimilikinya dengan meniaga kecil-kecilan itik salai untuk kelangsungan hidupnya selepas tidak dapat kembali ke Arab Saudi untuk bertugas sejak Mac lalu.

Nur Asykin berkata, dia dibantu suami dan bapanya menjual itik salai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi bagi menampung keperluan dan komitmen bulanan.

"Saya tidak dapat bantuan diumumkan kerajaan kerana tidak layak berikutan bekerja di luar negara.

"Hendak cari kerja pun tak boleh, jadi timbul idea jual itik salai untuk menampung serba sedikit keperluan," katanya yang menetap di Seremban 2, Negeri Sembilan.

Katanya, sepanjang tujuh tahun bertugas di Arab Saudi pengalaman terkandas tidak pernah berlaku.

"Saya tidak membuat sebarang persediaan, malah barangan penting juga tinggal di sana.

"Balik sini pun pada mulanya cuma untuk cuti sebulan sejak 28 Februari lalu saja tidak sangka terkandas lama macam ini.

"Jadi, saya amat berharap dapat balik segera bertugas kerana jualan itik salai ini hanya untuk sementara waktu saja," katanya.

Nur ainina md radzi
Nur ainina md radzi

KISAH 3

"Saya bersyukur moratorium amat membantu saya dan suami menguruskan perbelanjaan kami.

"Jika tidak saya pun tidak tahu bagaimana hendak tampung perbelanjaan komitmen bulanan," kata Nur Ainina Md Radzi, 31.

Nur Ainina berkata, dia mengisi masa lapang selama tiga bulan terkandas di Malaysia dengan menjadi suri rumah sepenuh masa.

"Disebabkan susah cari kerja sesuai, saya ambil peluang ini untuk memenuhi tanggungjawab saya sebagai seorang isteri sepenuh masa di rumah yang mana sebelum ini saya jarang lakukan kerana tuntutan kerja.

"Selama lima tahun bertugas di Arab Saudi saya hanya dapat pulang ke Malaysia jumpa suami dua kali setahun," katanya.

Katanya, dia tiba di Malaysia 20 Februari lalu dan sepatutnya pulang kembali ke Arab Saudi 30 Mac lalu.

"Naluri sebagai jururawat semakin membuak-buak apatah lagi saya kasihan tengok kawan yang kerja sebagai petugas barisan hadapan, tetapi kami tidak boleh buat apa-apa di sini.

"Saya harap dapat balik secepat mungkin kerana saya tidak mahu hilang kerja apatah lagi simpanan semakin susut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:00 AM