FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Amir Abd Hamid


Majikan tak upaya tawar kerja

Kuala Lumpur: Kebolehpasaran graduan di negara ini menurun kepada 84.4 peratus pada tahun lalu berbanding 86.2 peratus pada 2019 disebabkan kesan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

Malah, kajian gaji dilakukan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bagi eksekutif pada 2020 menunjukkan 57.1 peratus syarikat responden melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja tahun lalu.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, secara umum kebanyakan majikan tidak berupaya untuk menawarkan kerja tetap kerana ketidaktentuan mengenai kelestarian perniagaan ketika pandemik.

"Segelintir majikan mungkin menawarkan kerja jangka pendek untuk memenuhi keperluan yang mendesak.

"Kebanyakan graduan pula memilih menunggu peluang kerja tetap dan tidak memilih untuk menerima tawaran kerja untuk jangka pendek," katanya.

Beliau berkata, bayaran gaji yang diterima oleh graduan berijazah dan diploma dikenal pasti menurun pada tahun lalu sehingga kini.

Namun, katanya, bayaran gaji lebih rendah kepada graduan ketika ini bersifat sementara kerana berkait rapat dengan impak semasa pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan tahun ini.

"Pada 2020, lebih 32,000 perniagaan gulung tikar dan 107,000 pekerja diberhentikan. Pada tahun ini sehingga November lalu, kira-kira 60,000 pekerja sudah diberhentikan kerja. Berdasarkan apa yang berlaku, paras gaji pada tahun lalu berkurangan kira-kira sembilan peratus.

"Apa yang penting, graduan baru menamatkan pengajian hendaklah meningkatkan nilai tambah mereka dan juga menambah kemahiran baru bersesuaian.

"Terutama mereka perlu melengkapkan diri kemahiran digital untuk memastikan sentiasa relevan dengan apa diperlukan pasaran kerja pasca pandemik," katanya.

Dr Syed Hussain berkata, graduan seharusnya cekap berfikir dan bertindak pantas serta boleh menyesuaikan kemahiran dengan keperluan semasa, sekali gus memenuhi kehendak pasaran kerja yang sentiasa berubah.

Beliau turut menasihatkan graduan baru supaya lebih realistik mengenai jangkaan gaji permulaan yang ditawarkan oleh majikan.

Katanya, graduan baru tidak harus menolak tawaran kerja walaupun gajinya tidak seperti diharapkan.

"Gaji permulaan di sektor swasta bukanlah statik untuk jangka panjang. Jika pekerja membuktikan mereka adalah aset kepada majikan, perkara berkaitan gaji boleh disemak semula kepada lebih tinggi walaupun pekerja itu mungkin berkhidmat kurang daripada setahun," katanya.

Menurutnya, keadaan ekonomi dijangka bertambah baik dan majikan secara peringkat demi peringkat akan meningkatkan pengambilan pekerja baru.

Katanya, kekosongan pekerjaan terutama untuk jawatan eksekutif akan memberi peluang untuk pencari kerja khususnya dalam kalangan graduan.

Siti Nadirah Ismail, 26 (kiri) dan Nur Najihah Mohamad.
Siti Nadirah Ismail, 26 (kiri) dan Nur Najihah Mohamad.

Bayaran gaji tak setimpal hanya sementara

Kuala Lumpur: Penawaran peluang pekerjaan untuk graduan baharu yang berkurangan akibat pandemik Covid-19 berlaku berikutan banyak syarikat di negara ini terjejas termasuk ada yang gulung tikar.

Malah, syarikat yang masih beroperasi pula didakwa menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan terutama graduan bagi menampung kos operasi berikutan ketidaktentuan ekonomi.

Bagaimanapun, bayaran gaji tidak setimpal kepada graduan berkenaan dianggap bersifat sementara kerana berkait rapat dengan impak semasa pandemik ketika ini.

Ikuti keluhan graduan baharu yang berdepan cabaran untuk mencari pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan pengajian mereka.

Kisah 1

"Sekarang memang susah nak dapat kerja, apa yang dapat itulah rezeki. Biarlah gaji tak setimpal kelayakan pun, asalkan setiap bulan dapat tolong keluarga," kata Siti Nadirah Ismail, 26.

Pembantu kedai kek di Pasir Puteh, Kelantan itu adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Perindustrian yang menamatkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), November 2020.

Anak tunggal itu berkata, walaupun menerima gaji RM1,100 sebulan namun dia bersyukur tinggal bersama ibunya, Norkasmawati Ismail, 49, sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup.

Menurutnya, bapanya Ismail Ibrahim meninggal dunia ketika dia tujuh bulan dalam kandungan ibunya.

"Saya pernah bekerja selama dua bulan di sebuah kilang elektronik di Shah Alam namun mengambil keputusan pulang ke kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bekerja di kilang itu memang dapat pengalaman. Kerja 12 jam sehari mengikut syif dengan gaji asas RM1,200 menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sekarang saya bersyukur apabila bekerja di kampung halaman kerana bukan sahaja dapat membantu ibu, malah boleh menemani insan tersayang itu," katanya.

Menurutnya, dia pernah melayari tawaran jawatan kosong di portal mengikut bidang pengajiannya namun gaji asas ditawarkan sekitar RM1,600 sebulan.

Namun, katanya, disebabkan pandemik, dia sukar untuk mendapat kerja dengan tawaran gaji demikian, sekali gus menjadi ada sebab dirinya memilih untuk bekerja di negeri asalnya.

"Saya juga ada memohon kerja melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), lebih 10 kali isi permohonan namun belum ada rezeki lagi," katanya.

Katanya, dia tidak memilih bekerja di kedai kek ketika ini kerana mahu mencari pengalaman dan wang saku tanpa menyusahkan keluarga.

"Banyak komitmen yang kena bayar dan saya sendiri pun mesti ada benda yang nak dibeli. Tak mahulah lama menganggur sebab rasa tak aktif," katanya.

Kisah 2

Walaupun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) lebih 3.5 dalam pengajiannya dan memiliki pengalaman kerja sambilan lebih dua tahun, gaji pokok yang diterima masih di bawah RM2,000.

Begitu pengalaman Nini, 27, graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu yang menamatkan pengajian pada 31 Ogos lalu.

"Saya sudah beberapa kali menghadiri temuduga kerja. Ketika ditemuduga sememangnya faktor PKP dan kekurangan jualan dijadikan alasan majikan menawarkan gaji rendah. Cabaran lain ialah susah nak cari kerja menyakinkan, malah penipuan dalam tawaran kerja pun ada," katanya.

Nini berkata, dia sebenarnya mahu bekerja dalam bidang pelancongan selepas menamatkan pengajian namun risau jaminan kerja dalam bidang itu.

Ini kerana, katanya, jika PKP berulang maka sektor pelancongan akan terjejas lagi dan menjadi risiko kepadanya sekiranya meneruskan niat berkenaan.

Kisah 3

Meskipun belum menamatkan pengajian, Nur Najihah Mohamad, 23, sudah menerima tawaran kerja di tempatnya menjalani latihan industri.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, dia tidak menafikan peluang pekerjaan mengikut kelayakan antara cabaran besar masa kini khususnya kepada graduan baru.

"Saya mendapati ramai kawan yang baru tamat pengajian bekerja di dalam skop berlainan daripada kursus dipelajari semasa di universiti disebabkan kekurangan tawaran kerja dalam bidang pengajain mereka.

"Tetapi dalam kursus saya, sedikit kelebihan kerana agroteknologi terus relevan berikutan sektor pertanian adalah satu daripada cabang penting untuk sumber makanan di Malaysia," katanya yang akan menamatkan pengajian pada 13 Januari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 12:00 PM