Zulkarnain Hasan Basri
Zulkarnain Hasan Basri
Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Berkelana jauh beribu-ribu batu dari tanah air tercinta tidak memadamkan semangat saling bantu-membantu yang sinonim dengan sikap rakyat Malaysia.

Tidak kira di mana pun bumi dipijak, mereka berusaha memanfaatkan peluang yang ada dengan menyantuni golongan memerlukan di negara terbabit tanpa mengira warna kulit.

Bukan sahaja mengejar pahala, malah usaha murni yang dilakukan rakyat Malaysia di negara asing turut mengharumkan nama dan imej negara di persada dunia.

Ikuti perkongsian rakyat Malaysia ini yang masing-masing memiliki kerjaya hakiki namun masih sempat meluangkan masa untuk menabur bakti termasuk berdakwah di negara tempat mencari rezeki itu.

   

Kisah 1

Pernah hampir putus asa kerana niatnya untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat Jepun langsung tidak mendapat sambutan pada detik awal melakukan dakwah.

Namun, usaha Zulkarnain Hasan Basri, 47, akhirnya membuahkan hasil yang manis apabila kegigihannya membolehkan Japan Da'wah Centre (JDC) dibuka di Osaka, Jepun dan menjadi pusat dakwah Islam kepada masyarakat setempat.

Kelebihan Zulkarnain menguasai bahasa dan budaya Jepun, secara tidak langsung memudahkannya untuk mendekati masyarakat Jepun dan melaksanakan aktiviti dakwah di negara matahari terbit itu.

"Saya mula menjalankan dakwah secara sambilan pada 2010 dan pergi ke setiap gereja sebelum mengambil keputusan memperkenalkan Islam di sana. Saya pernah didekati oleh seseorang untuk menganuti agama Kristian dengan mengajak saya ke gereja.

"Bermula dari situ, saya mula berhujah dengan penduduk di sana termasuk dengan paderi namun tiada yang berminat masuk Islam.

"Memang ada rasa hampa, tetapi saya tekad dan seminggu sekali saya akan keluar berdakwah serta mengajak rakan-rakan lain," katanya yang berkahwin dengan wanita Jepun dan kini menetap di negara itu.

Menurutnya, cabaran utama untuk berdakwah dengan orang Jepun adalah dari segi bahasa kerana orang luar tidak ramai yang betul-betul lancar dengan bahasa mereka.

Dengan kelebihan berbahasa Jepun yang baik, Zulkarnain bersyukur kerana sepanjang tiga tahun berdakwah secara sambilan, Allah SWT memberinya kelancaran berhujah dan berdakwah.

"Saya tambah ilmu dengan menyertai kelas pengajian tadabbur dan setiap hari saya akan menghabiskan masa selama tiga jam belajar mendalami agama serta cara berdakwah.

"Alhamdulillah, selepas empat tahun, baru seorang demi seorang memilih untuk bersyahadat memeluk Islam dan selepas 2015, kira-kira 15 orang masuk Islam," katanya.

Selepas aktif berdakwah (mula aktif berdakwah pada September 2012), bapa kepada tiga cahaya mata itu kini menjadi pendakwah sepenuh masa dan fokus diberikan kepada Nippon Muslim Corporation yang baru dibangunkan pada 29 Januari 2019.

Katanya, melalui JDC, ia menjadi pusat dakwah Islam pertama yang menggunakan keseluruhan bahasa dan tulisan Jepun di mana rata-rata masyarakat Jepun berasa selesa dan menarik minat mereka mendalami ajaran Islam.

  Orang ramai yang ingin menyumbang untuk pembinaan masjid boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB Bank Da'wah Islam di Bumi Matahari Terbit (DidBMT), 86-03519647.

Kisah 2

Sanggup mengumpul dana bantuan menggunakan wang pendapatan sendiri untuk menyantuni golongan memerlukan.

Itu niat murni rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jururawat di Riyadh, Arab Saudi.

Ketua wakil komuniti jururawat di Arab Saudi, Muhammad Amran Azizan berkata, idea berkenaan diilhamkan menerusi program Jom Beramal Jariah yang dimulakannya sendiri pada Mac lalu.

"Mulanya saya gunakan wang simpanan sendiri untuk buat kerja kebajikan berskala kecil dengan membantu mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan.

"Sehingga kini, saya masih memberi sumbangan makanan asas kepada 20 orang terjejas terutama dari India dan Bangladesh," katanya.

MUHAMMAD Amran Azizan jururawat yg aktif membantu golongan memerlukan di Arab Saudi.
MUHAMMAD Amran Azizan jururawat yg aktif membantu golongan memerlukan di Arab Saudi.

Menurutnya, usahanya turut meraih perhatian komuniti Malaysia di Riyadh dan syarikat swasta untuk menyumbang.

"Ramadan lalu, kami menyediakan makanan percuma untuk berbuka puasa kepada lebih 200 ekspatriat dari Bangladesh, Indonesia, Yaman dan Filipina yang menetap di Arab Saudi.

"Pada Julai lalu pula, kami memberikan air mineral percuma di masjid, dewan orang ramai dan kediaman di sekitar Riyadh.

"Bantuan ini juga selari dengan keperluan penduduk tempatan yang sering mengalami masalah air terutama ketika musim panas pada setiap Julai," katanya.

Katanya, bermula Julai lalu mereka turut membantu 12 mualaf yang baru memeluk Islam di Arab Saudi terutama dari Filipina.

"Kami menyerahkan naskhah al-Quran, buku panduan Fardu Ain dan panduan solat selain menyediakan bimbingan kepada mereka.

"Kini, kami dalam usaha mengumpul dana untuk menaja mereka menunaikan umrah pada masa akan datang," katanya.

Kisah 3

Melihat senyuman penerima bantuan memberi satu kepuasan sukar untuk digambarkan buat anak muda ini sehingga semangat berbakti kepada insan memerlukan semakin berkobar-kobar.

Menurut Shaiful Azri Shaiful Kamar, 24, dia mula menceburi bidang amal kebajikan di Auckland, New Zealand sejak lebih tiga tahun lalu ketika menyambung pengajian sebelum kini bekerja di negara itu.

"Menariknya, kita bukan saja sekadar berikan bantuan, tetapi apabila saya turun di lapangan, turut berpeluang mendekati dan memahami lebih dekat golongan memerlukan ini.

"Paling saya tersentuh hati apabila melihat mereka senyum ketika menerima bantuan yang membuatkan saya lebih bersemangat menggunakan platform ini untuk membantu orang di sana," katanya.

SHAIFUL Azri Shaiful Kamar rakyat Malaysia yang aktif membantu golongan memerlukan di New Zealand.
SHAIFUL Azri Shaiful Kamar rakyat Malaysia yang aktif membantu golongan memerlukan di New Zealand.

Menurutnya, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam pada setiap hujung minggu untuk menyantuni golongan memerlukan menerusi MyFundAction New Zealand.

"Tidak rugi pun meluangkan masa untuk buat kerja ini kerana banyak pengalaman berharga dapat ditimba selain meningkatkan kemahiran komunikasi dan mengembangkan networking saya dengan orang dari pelbagai negara dan latar belakang," katanya.

Katanya, pihaknya akan memastikan setiap minggu mereka menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan di negara itu.

"Selain menjadi sukarelawan, saya akan mengemas kini setiap aktiviti kepada pengurus cawangan organisasi.

"Kami akan pastikan setiap minggu mesti ada aktiviti membantu orang jika tiada halangan seperti perintah berkurung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 1:01 PM