ADA alat pengimbas suhu digital memberikan bacaan sekitar 33 darjah  Celsius hingga tahap paling rendah iaitu 29 darjah Celsius.
ADA alat pengimbas suhu digital memberikan bacaan sekitar 33 darjah Celsius hingga tahap paling rendah iaitu 29 darjah Celsius.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik


PELBAGAI persoalan ditimbulkan sama ada alat pengimbas suhu digital yang digunakan meluas untuk pemeriksaan suhu badan benar-benar menunjukkan bacaan tepat atau produk murahan 'cap ayam' yang sekadar memenuhi syarat.

Penggunaan alat pengimbas suhu yang dianggap 'lesen' bagi membolehkan orang ramai memasuki premis perniagaan, bangunan pejabat, kemudahan awam dan pelbagai sektor lain kini diragui ketulenannya.

Ini terbukti apabila ketepatan alat pengimbas suhu digital mula dipertikaikan masyarakat susulan terdapat bacaan berbeza bagi beberapa alat digunakan dalam tempoh sama.

Malah, lebih mengelirukan apabila ada antara alat pengimbas suhu digital ini menunjukkan angka suhu tidak normal bagi manusia iaitu di bawah 30 darjah Celsius.

Angka ini dianggap tidak munasabah berikutan suhu normal manusia bermula antara antara 36 darjah Celsius sehingga 37.5 darjah Celcius.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, apa yang berlaku ini jelas menggusarkan orang ramai, sekali gus timbul persoalan adalah pengambilan suhu itu mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, tular di media sosial berhubung buku catatan maklumat pelanggan sebuah pasar raya menunjukkan suhu badan pelanggan sekitar 33 Celsius hingga tahap paling rendah iaitu 29 darjah Celsius.

"Ini adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal berikutan suhu normal manusia 'hidup' adalah di atas 36 darjah Celsius.

"Keadaan itu jelas menunjukkan pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam restoran berkenaan tidak disaring dengan betul.

"Ada kemungkinan suhu badan mereka ini melebihi 37 Celsius, sekali gus membuktikan kemungkinan wujud gejala Covid-19," katanya.

Beliau berkata, isu perang asimetri iaitu menentang musuh yang tidak nyata memerlukan aspek pengawalan berkesan seperti pengawasan suhu badan bagi mengesan individu yang mempunyai gejala Covid-19.

"Namun aspek pengawalan seperti penggunaan alat pengimbas suhu digital memerlukan lebih penyeliaan keselamatan dari segi peralatan itu sendiri.

"Satu senarai dan ciri keselamatan bagi mengelakkan penjualan dan penggunaan produk tiruan dalam pasaran harus dilaksanakan. Ciri keselamatan penting bagi memastikan keselamatan orang ramai dari segi langkah pengawalan keselamatan yang lebih berkesan mencapai objektif dan matlamat sejajar SOP KKM," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan pandemik Covid-19 yang berlaku menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menjual produk tidak berkualiti atau tiruan.

"Pembelian barangan jenama tiruan atau palsu boleh merugikan negara terutamanya produk yang dijual secara berleluasa tidak menguntungkan indusri kesihatan negara.

"Sistem piawaian seperti SIRIM dan pusat rujukan digital bagi orang awam merujuk kompetensi peralatan langkah pengawalan Covid-19.

"Langkah keselamatan juga boleh digunakan sepenuhnya untuk mewujudkan industri tempatan dan rantaian ekonomi produk pencegahan tempatan dengan inovasi produk pengawalan perang asimetri Covid-19 yang diiktiraf dan berpotensi untuk pasaran luar seperti pasaran sarung tangan getah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 8:00 AM