SEORANG wanita mengambil gambar pokok yang dilitupi  salji.
SEORANG wanita mengambil gambar pokok yang dilitupi salji.
BEBERAPA pendaki menunggu bas di sebuah perhentian yang dilitupi dengan salji tebal di Tai Mo Shan, Hong Kong.
BEBERAPA pendaki menunggu bas di sebuah perhentian yang dilitupi dengan salji tebal di Tai Mo Shan, Hong Kong.
ORANG awam berjalan di atas pantai di Rongcheng, Wilayah Shandong yang dilitupi salji tebal.
ORANG awam berjalan di atas pantai di Rongcheng, Wilayah Shandong yang dilitupi salji tebal.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Cuaca sejuk ekstrem yang melanda beberapa negara antaranya China, Taiwan dan Hong Kong akan berlarutan dalam tempoh empat hari dan fenomena itu berpunca daripada deruan angin sejuk dari Siberia.

Timbalan Pengarah Institut Lautan dan Sains Bumi (IOES) Universiti Malaya (UM) Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, beberapa negara terkesan dengan kejatuhan suhu secara mendadak itu merasai perubahan dalam tempoh tertentu sebelum ia kembali normal.

“Kebiasaannya, deruan angin sejuk dari Siberia mengambil masa tiga hingga empat hari sebelum kembali seperti biasa.

“Deruan angin sejuk ini umpama bom, jika bom meletup, ia mengambil tempoh tertentu untuk merasai kesannya. Begitu juga dengan deruan angin sejuk ini. Apa yang dirasai penduduk di negara itu bersifat sementara,” katanya.

Azizan berkata, selepas tempoh ‘letupan angin sejuk’ itu, suhu di negara terkesan kembali pulih dan negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia turut merasai kesannya deruan angin sejuk ini.

Beliau menjangka pada penghujung minggu ini, keadaan di beberapa negara terutamanya Hong Kong kembali pulih seperti sedia kala.

Pada masa sama, AFP melaporkan cuaca sejuk ekstrem melanda Hong Kong yang terburuk pernah dicatatkan dalam tempoh 60 tahun apabila bacaan suhu berapa pada tahap terendah.

Pihak berkuasa negara berkenaan mengeluarkan amaran dengan menyatakan ‘deruan angin sejuk kritikal’ melanda Hong Kong dan keadaan tambah buruk dengan tiupan angin monsun.

Suhu di negara itu mencatatkan penurunan kepada 3.3 darjah Celsius di kawasan bandar dan penduduk yang tinggal di luar bandar berdepan masalah berikutan kekurangan kelengkapan alat pemanas.

Pegawai Kanan Saintifik Hong Kong, Wong Wai-Kin memberitahu AFP bahawa cuaca itu antara yang terburuk sejak 60 tahun lalu.

“Ini adalah suhu yang paling sejuk sejak 1957. Pada tahun berkenaan, suhu mencatatkan bacaan terendah iaitu 2.4 darjah Celsius.

“Amaran dikeluarkan kepada penduduk di Hong Kong supaya mereka memakai pakaian tebal dan menggunakan alat pemanas bagi mengelak kesan terhadap kesihatan,” katanya.

Keadaan sama turut berlaku di Taiwan yang mengorbankan 57 mangsa yang kebanyakan warga emas dan suhu di negara itu mencatatkan bacaan empat darjah Celsius.

Jurucakap pihak berkuasa negara berkenaan memaklumkan bahawa kebanyakan mangsa terkorban adalah mereka yang tidak mempunyai kelengkapan alat pemanas.

“Kita tidak pernah mengalami situasi suhu ekstrem seumpama ini dan suhu jatuh secara mendadak dalam tempoh yang sangat pantas,” katanya.

Menurutnya, suhu normal di ibu negara berkenaan iaitu Taipei sekitar 16 darjah Celsius pada Januari lalu, namun bacaan terkini adalah sekitar empat darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 8:56 AM