Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Bukan sesuatu yang pelik jika daerah Kuala Krai mengalami bacaan suhu di bawah 20 darjah Celsius malah fenomena itu sudah berlangsung selama 30 tahun antara Januari hingga Februari.

Jika dua tahun lalu, rekod bacaan suhu terendah adalah 17 darjah Celsius, kini catatan terkini capai 19 darjah Celsius pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Meteorologi Kelantan Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, suhu terendah begitu hanya boleh dirasai sekitar jam 5 pagi hingga 7 pagi dan kembali normal menjelang tengah hari.

“Ini fenomena biasa di Kuala Krai kerana tiupan angin monsun timur laut yang kencang dari China dan Jepun yang kini sedang mengalami musim sejuk.

“Ia hanya bawaan angin yang tidak mungkin menjadikan Kuala Krai sejuk melampau. Agak mustahil untuk negara beriklim tropika seperti negara kita alami musim sejuk (dengan bacaan suhu di bawah 10 darjah Celsius).

“Selama ini, suhu yang paling rendah pernah direkodkan pun ialah 17 darjah Celcius iaitu pada 23 Januari 2014, kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Maqrun Fadzli juga enggan orang ramai tersalah anggap dengan mengatakan Januari ke Februari adalah musim sejuk untuk Kuala Krai.

Katanya, bacaan suhu yang berubah dari semasa ke semasa adalah sukar dijangka, namun yang pasti bacaannya tidak sehingga bawah paras 10 darjah Celsius.

“Faktor lain selain angin yang sebabkan sejuk di daerah itu adalah kerana ia kawasan berbukit dan masih dikelilingi hutan.

“Awan yang kurang juga menyebabkan proses pembebasan haba terlalu cepat dan mendorong cuaca sejuk pada pagi. Apagila tengah hari, ia kembali biasa iaitu antara 32 darjah Celsius hingga 33 darjah Celsius.

“Saya nasihatkan orang ramai tidak perlu memperbesarkan perkara ini kerana ia normal setiap tahun. Mereka hanya perlu jaga kesihatan diri kerana mengalami cuaca yang berubah-ubah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 9:13 AM
PENDUDUK Kampung Tualang, Kuala Krai mengenakan pakaian baju sejuk ketika singgah untuk minum berikutan cuaca sejuk mula melanda daerah Kuala Krai beberapa hari lalu.
PENDUDUK Kampung Tualang, Kuala Krai mengenakan pakaian baju sejuk ketika singgah untuk minum berikutan cuaca sejuk mula melanda daerah Kuala Krai beberapa hari lalu.