Ariff Bahran sudah selesaikan sengketa dengan Sang Hitam.
Ariff Bahran sudah selesaikan sengketa dengan Sang Hitam.
Norhayati Nordin


PENYANYI Ariff Bahran, 20, sudah menyelesaikan perselisihan dengan komposer dan penulis lirik bersama single Kata Akhirmu, Sang Hitam atau Shafie Ghazali.

Bahran berkata dia mengadakan pertemuan dan meminta maaf kepada Sang Hitam di atas apa berlaku pada Ramadan lalu.

"Saya dan Sang Hitam, kami sudah berbaik semula. Alhamdulillah, syukur perselisihan berlaku antara kami selesai.

"Saya lega semuanya diakhiri dalam keadaan baik selepas bertemu sendiri dan meminta maaf padanya sekitar Ramadan lalu," jelasnya.

Menurut Bahran lagi, dia dan Sang Hitam juga kini tiada masalah untuk terus bekerjasama dalam menghasilkan single baru di masa akan datang.

Perselisihan Sang Hitam dan Bahran timbul sekitar dua bulan lalu apabila bakat baru itu didakwa tidak memaklumkan namanya sebagai komposer dan penulis lirik bersama single Kata Akhirmu kepada media.

Bahran dikatakan hanya memberitahu nama komposer single yang melonjakkan namanya sebagai penyanyi sekelip mata iaitu Rudy Kasmaran dan Jimmy Asmara saja.

Ia membuatkan Sang Hitam terkilan dan perselisihan itu tercetus. Namun, Bahran membuang ego dan meminta maaf di atas apa yang berlaku.

Bahran berkata dia gembira permohonan maafnya dan penjelasan dibuat kepada Sang Hitam diterima positif dan sekali gus isu itu selesai.

Ariff atau Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari memberitahu apa berlaku antaranya dan Sang Hitam adalah pengajaran besar buatnya.

Single Kata Akhirmu mula menjadi perhatian ramai selepas dipilih sebagai lagu tema drama Cinta Hati Batu di TV3 lakonan Ashraf Muslim dan Aishah Azman.

Hingga kini, muzik video rasmi single Kata Akhirmu yang dimuat naik di YouTube sudah mencatat 11 juta tontonan dalam tempoh tujuh bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 1:49 PM