BAHRAN bersikap terbuka ingin lebih aktif teroka cabang seni lain.
BAHRAN bersikap terbuka ingin lebih aktif teroka cabang seni lain.
Norhayati Nordin

KETIKA negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun lalu hingga 31 Ogos depan, penyanyi dan pelakon Ariff Bahran lega kerana perjalanan kerjaya seninya boleh dirancang semula.

Bahran, 22, yang baru muncul dengan lagu berjudul Usah berkata, sukar untuk digambarkan perasaan lega itu dan ia hanya mampu diungkap dengan penuh kesyukuran di hati.

"Alhamdulillah, lega teramat sangat umpama dapat bernafas lancar semula. Saya puas apabila boleh menyanyi 'live', keluar buat promosi lagu, jumpa orang atas urusan kerja dan macam-macam lagi.

"Kalau ketika berkurung untuk beberapa bulan dulu kerana penularan Covid-19, suasana kerja secara virtual sangat berbeza. Walaupun semuanya cukup menyenangkan dengan kemudahan teknologi, namun saya tetap rasa ada yang kurang.

"Keadaan tidak sama seperti kita membuat promosi di luar bertemu orang lain. Di rumah 'feel' untuk promosi dan membuat persembahan nyanyian itu sangat jauh bezanya terutama nak dapatkan kepuasan diri sendiri," katanya.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari ini, dia bagaimanapun gembira apabila lagu Usah yang bergenre R&B pop itu mendapat sambutan sangat baik daripada pendengar dan peminatnya.

"Saya ada sedikit kebimbangan juga untuk lagu Usah kerana kebanyakan pendengar serta peminat muzik saya tahu genre yang selalu dinyanyikan adalah balada. Saya sudah sinonim dengan genre itu (balada).

"Namun, untuk lagu Usah saya cuba bawa kelainan dengan memberanikan diri menyanyi genre muzik lain. Apatah lagi, penciptaan lagu ini saya buat bersama penyanyi Sufian Suhaimi.

"Kami berdua menyumbang idea masing-masing dan alhamdulillah, lagu Usah dihasilkan. Saya sangat berterima kasih pada sokongan pendengar dan peminat yang menyukai lagu ini," katanya.

BAWA kelainan menyanyi muzik bergenre R&B pop menerusi lagu Usah.
BAWA kelainan menyanyi muzik bergenre R&B pop menerusi lagu Usah.

Berbicara perancangannya memantapkan karier, Bahran berkata, jika ada peluang dia mahu lebih aktif menerokai cabang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan.

Katanya, dia tidak mahu beri tumpuan pada satu bidang sahaja.

"Saya pun pernah berlakon dalam beberapa telefilem sebelum ini. Jadi, sedikit sebanyak pengalaman sudah ada, tetapi saya kena nekad untuk cuba lebih aktif melakukannya.

"Saya perlu lebih berani untuk mencapai sasaran kejayaan diinginkan. Dalam soal ini, saya sedar perlu bersikap terbuka dan sedia menerokai sesuatu yang baharu untuk lebih berjaya," katanya.

Menurut penyanyi lagu Kata Akhirmu, Juara Dusta dan Bicara Rasa ini, pada masa sekarang dia tidak mahu mengehadkan perkembangan bakatnya.

Kata Bahran, dia sedia mencuba semua cabang kerjaya seni untuk menilai potensi diri.

Proses hasilkan album

Enggan selesa dengan pencapaian yang dikecapi, Bahran mengaku dia juga sibuk merancang untuk muncul dengan album baharu sekitar hujung tahun ini.

Katanya, paling lewat pun album itu mungkin dilancarkan pada awal tahun depan.

Bahran juga bercadang memuatkan sembilan lagu dalam album berkenaan meliputi pelbagai genre muzik.

"Apa yang pasti, saya juga kini aktif dalam penciptaan lagu. Alhamdulillah, saya tidak hanya hasilkan lagu untuk nyanyian sendiri, tetapi buat penyanyi lain yang mahu bekerjasama.

"Bagi saya, paling utama adalah peluang. Jadi, apabila peluang itu diperoleh, jangan pula disia-siakan. Justeru, saya tekad mahu usaha buktikan bakat diri.

"Ini berikutan saya memiliki cita-cita besar dalam kerjaya seni. Saya mahu berjaya dalam segala bidang. Oleh itu, selagi mendapat kepercayaan dan keyakinan pihak lain pada bakat saya, ia sangat dihargai," katanya.

Ditanya sama ada dia juga bersedia untuk bergerak sendiri tanpa syarikat rakaman dan pengurusan, Bahran berkata, kerjaya seninya masih baru bertapak.

Katanya, dia perlukan masa untuk membuat perancangan masa depan dan tidak boleh terburu-buru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 6:00 AM