PENYANYI, Sarah Suhairi <kiri> dan Arif Bahran <kanan>. FOTO Aziah Azmee
PENYANYI, Sarah Suhairi <kiri> dan Arif Bahran <kanan>. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


DIGANDINGKAN untuk single duet berjudul Bicara Rasa bukan bermakna Sarah Suhairi dan Ariff Bahran Ahmad Azhari pernah melalui pengalaman bercinta dalam hidup.

Baik Sarah, 19, mahupun Bahran, 21, kedua-duanya sekadar melaksanakan kehendak syarikat rakaman Rusa Music merakamkan lagu itu.

Menariknya lagu ciptaan Rudy Kasmaran dan lirik Sang Hitam itu dipilih sebagai runut bunyi drama popular TV3, Sara Sajeeda sekali gus melonjakkan lagi nama mereka di mata peminat.

Menurut Sarah, dia sukakan lagu berkonsep balada itu kerana ada kombinasi elemen moden dan pertengahan.

“Konsepnya ‘heavy balada’ yang tidak terlalu moden tidak terlalu ‘kampung’.

“Intipati lagunya berkisarkan pasangan kekasih yang ada masalah dalam perhubungan.

“Bagi saya, lagu ini susah dijiwai kerana saya tiada pengalaman bercinta,” katanya.

Bahran turut berkongsi pendapat sama dengan Sarah kerana belum ada pengalaman bercinta pada usia sekarang.

“Saya tiada pengalaman pedih yang ada kaitan dengan lagu ini. Kalau boleh saya mahu jauhkan diri daripada kisah begini.

“Maksud liriknya amat mendalam apabila bercerita mengenai hubungan yang tidak menjadi,” katanya.

SINGLE duet. FOTO Aziah Azmee
SINGLE duet. FOTO Aziah Azmee

Menganggap sebagai secebis kisah dalam sebuah lagu, mereka bertungkus lumus berlatih bagi mendapatkan penghayatan ketika mambawakan lagu itu.

“Kami kena berlatih menghayati lagu ini. Ini kali pertama kami berduet untuk lagu yang mencabar dan menuntut kesempurnaan.

“Sebelum ini kami hanya berduet untuk lagu raya dan ia sangat mudah dibawakan.

“Bagaimanapun, kali ini agak sedih. Sebagai penyanyi baru, agak susah untuk saya dapatkan ‘feel’. Kami sangat perlukan rasa itu ketika menyanyi,” kata Sarah.

Sementara itu, Bahran mengakui agak mencabar membawakan lagu balada secara duet apatah lagi dia sudah terbiasa menyanyi secara solo.

“Bagi mendapatkan keserasian kami kena kerap berlatih.

“Penghayatan kedua-dua belah pihak perlu ada kerana ini projek duet. Jika tidak, nyanyian akan jadi hambar dan tidak dapat menyentuh hati pendengar,” katanya.

Bahran berkata, idea menggandingkan mereka tercetus menerusi program Big Stage musim pertama tahun lalu.

“Saya kena buat ‘sound check’ dengan Sarah menggantikan Ismail Izzani.

“Rusa Muzik nampak ada keserasian antara kami dan daripada situ tercetus idea untuk projek duet. Apapun, kami bukan ikut trend yang ada sekarang,” katanya.

Celah Sarah, apabila bernaung di bawah satu bumbung pengurusan mudah untuk mereka bekerjasama termasuklah dalam soal promosi.

SARAH suhairi <kanan> juara Big Stage musim pertama. FOTO Aziah Azmee
SARAH suhairi juara Big Stage musim pertama. FOTO Aziah Azmee

“Kami sendiri merasai keserasian itu dan bersetuju dengan idea ini.

“Lagipun, tiada alasan untuk kami tolak kerana segalanya sudah diuruskan Rusa Muzik. Kami tahu keupayaan mereka untuk memastikan projek duet ini menjadi. Tinggal lagi kami cuma perlu ikut dan sama-sama mempromosikan lagu ini,” katanya.

Perkembangan lain, Sarah berhasrat menghasilkan album tetapi bukan dalam masa terdekat.

“Saya sudah ada tiga single iaitu Pedih, Nyawa & Raga, Rise and Fall dan terbaharu Bicara Rasa.

“Pembabitan dalam industri belum cecah dua tahun dan ada empat lagu sudah dikira banyak.

“Syukur, rezeki saya berjaya muncul juara Big Stage musim pertama. Saya akan fokus menyanyi dan lebih memilih nyanyian berbanding lakonan,” katanya.

Dia juga mahu mempelbagaikan genre dalam nyanyian dan berusaha memahirkan diri membawakan lagu berkonsep balada dengan baik.

Bahran pula yang sebelum ini popular dengan lagu Kata Akhirmu dan Juara Dusta berharap Bicara Rasa dapat mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri muzik tanah air.

“Semoga Bicara Rasa bawa tuah kepada saya. Insya-Allah ia permulaan yang baik sekali gus membawa sesuatu yang positif dalam karier saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 5:06 AM