Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail.
Aizat Sharif


Wang Kelian: Keberadaan pelancong asing dari Republik Rakyat China dan India yang memasuki negara ini menerusi Pelan Liberalisasi Visa (PLV) sentiasa berada dalam pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi data biometrik yang diambil ketika pelancong kedua-dua negara ini tiba di negara ini.

Ini berikutan timbul kebimbangan dalam masyarakat bahawa langkah pengecualian syarat kemasukan di semua pintu masuk terhadap pelancong dari kedua-dua negara itu menerusi PLV hanya akan menyebabkan lambakan rakyat negara berkenaan menyalahgunakan kemudahan itu dengan tinggal lebih masa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, justifikasi pengenalan PLV adalah meningkatkan semula ekonomi negara ini menerusi sektor pelancongan dengan kehadiran pelancong dari negara Republik Rakyat China dan India.

"Meskipun kita boleh tarik pelabur, langkah itu akan makan masa untuk membuahkan hasilnya dan kita juga boleh mempermudah dan merancakkan sektor pelancongan dengan mempermudahkan menerusi PLV.

"Jadi kita tengok berdasarkan data pelancong dari Asia Tenggara (Asean) yang masuk ke Malaysia adalah dari Singapura diikuti Thailand manakala data pelancong dari luar Asean pula adalah China diikuti India.

"Berdasarkan rekod JIM, dari Januari tahun lalu sehingga Mac tahun ini sebanyak 40 juta pelancong masuk ke negara ini.

"Daripada jumlah itu 30.5 juta memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2 serta di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Pintu Masuk Wang Kelian di Pos Imigresen Wang Kelian, di sini hari ini.

Katanya, kemasukan pelancong dari kedua-dua negara ini memberi nilai tambah kepada ekonomi negara terutama ketika mereka berbelanja.

"Jadi apabila dikatakan mereka masuk tetapi tidak keluar, saya nak sebut di sini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 950,000 pelancong China masuk ke negara ini.

"Tetapi hanya 0.3 peratus daripada mereka ini ditahan atau tidak dibenarkan masuk ke negara ini disebabkan disenarai hitam kerana kesalahan imigresen dan sebagainya.

"Ini bermakna, dia (pelancong China) mengikut peraturan dan kita benarkan masuk dan angka yang tidak dibenarkan masuk pun hanyalah sekitar 0.3 peratus sahaja," katanya.

Beliau berkata, meskipun PlV yang dilaksanakan untuk memberi kemudahan kepada pelancong China dan India, namun kerajaan tidak berkompromi terutama dalam soal keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 8:37 PM