ARIFF Bahran beranikan diri cuba jalur R&B serta hip hop menerusi lagu Usah.
ARIFF Bahran beranikan diri cuba jalur R&B serta hip hop menerusi lagu Usah.
Norhayati Nordin


TIGA tahun bergelar penyanyi, cukup mengajar dan memberi pelbagai kenangan manis dan sebaliknya buat Ariff Bahran, 22, dalam melakar namanya di pentas hiburan tanah air.

Pun begitu, dia tidak gentar dengan cabaran perlu dihadapi berikutan yakin pada bakat dan rezeki ditetapkan Yang Esa. Baginya yang mesra disapa Bahran, dia harus berani mencuba.

Mengakui banyak perkara membabitkan kerjaya seninya perlu diatur semula, Bahran atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, tidak menafikan dia kena terus bersemangat.

"Sejak penularan Covid -19 melanda Malaysia dan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, banyak perancangan yang dibuat untuk perjalanan kerjaya seni saya tahun ini ditangguh.

"Memandangkan tahun baharu pun makin hampir menjelma, saya harus menyusun semula strategi dan perancangan terkini. Ditambah, situasi pandemik ini juga belum tahu bila akan berakhir.

"Bagaimanapun, dugaan ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengorak langkah dalam nyanyian. Bagi saya, mungkin ini masanya untuk lebih kreatif mencorak semula karier," katanya.

Menurut Bahran yang pernah popular dengan lagu Kata Akhirmu, dia sedar ramai yang berhadapan pelbagai masalah sejak PKP bahkan ramai yang diberhentikan kerja sekaligus mengalami masalah kewangan.

"Begitu juga saya sebagai penggiat seni, tidak terkecuali dengan keadaan yang berlaku. Dalam erti kata lain, kita semua kini perlu berjuang untuk hidup dan tidak boleh berasa terlalu kecewa.

MAHU terus relevan, Ariff Bahran tekad variasikan pelbagai genre dalam lagu-lagunya.
MAHU terus relevan, Ariff Bahran tekad variasikan pelbagai genre dalam lagu-lagunya.

"Untuk saya, minat pada nyanyian sangat dalam. Jadi, dengan bakat yang dianugerahkan Allah SWT ini, saya tekad mahu terus mengembangkannya melalui variasi pelbagai genre lagu untuk terus relevan," katanya.

Meski selesa dengan genre balada selama ini, Bahran berkata dia memberanikan diri untuk mencuba jalur muzik lain seperti R&B dan hip hop dalam karya terbaharunya. Ia sudah dilakukan Bahran melalui lagu Usah yang dilancarkan pada awal tahun ini.

"Alhamdulillah, percubaan saya berhasil kerana lagu Usah yang ditampilkan dengan sedikit kelainan diterima baik pendengar. Ia sebuah karya lagu rancak bergenre R&B serta hip hop.

"Sebelum ini, saya memang terbiasa dengan lagu-lagu berentak balada, jadi untuk lagu Usah, saya berasa sudah tiba masa menyuntik kelainan yang mampu memberikan perbezaan ketika mendengarnya.

"Ditambah, saya juga mendapat kerjasama daripada komposer dan penyanyi Sufian Suhaimi yang banyak membantu dalam penghasilan lagu ini. Kami bermula dengan bermain gitar sahaja dan kemudian dapat ilham untuk menyiapkan melodi penuh," katanya.

Bahran yang pernah menyertai program realiti Big Stage musim pertama pada 2018, berkata kini dia juga aktif mencipta lagu. Ujarnya, lebih mudah menyanyikan lagu ciptaan sendiri terutama untuk mendapatkan 'mood' dan memahami penceritaan sesebuah karya lagu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:10 AM