ASMAWI bersama sebahagian koleksi Allahyarham Sudirman yang berada dalam simpanannya. FOTO Mohd Amin Jalil.
ASMAWI bersama sebahagian koleksi Allahyarham Sudirman yang berada dalam simpanannya. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


SEORANG lelaki sanggup berhabis RM20,000 bagi mendapatkan pelbagai koleksi penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Asmawi Mat Ali, 37, dari Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Seremban, berkata dia mula mengumpulkan pelbagai koleksi penyanyi popular itu pada 2000.

Katanya, lebih daripada 1,000 koleksi dapat dikumpulkan termasuk piring hitam, kaset, cakera padat (CD), poster, tin minuman sudi, buku, majalah hiburan, keratan akhbar, novel, komik, kad ucapan hari raya, sampul duit raya, kemeja-t, risalah, sticker serta cermin mata (sudir shade).

ASMAWI meminati Sudirman sejak kecil. FOTO Mohd Amin Jalil
ASMAWI meminati Sudirman sejak kecil. FOTO Mohd Amin Jalil

“Idea mengumpulkan koleksi Sudirman mula tercetus selepas lapan tahun penyanyi itu pergi buat selama-lamanya pada 22 Februari 1992.

“Saya mula mendapatkan koleksi itu sebaik bekerja. Saya dan ahli keluarga termasuk ibu serta ayah sememangnya meminati Allahyarham Sudirman.

“Walaupun ketika masih kecil saya tidak begitu mengenali dunia hiburan, disebabkan ahli keluarga sering memutarkan lagu penyanyi itu, ia membuatkan saya terpesona dan meminati Sudirman.

“Sejak itu, saya mula mengenali Allahyarham menerusi lagu-lagunya, selain melalui paparan pelbagai media dan minat terhadap penyanyi itu terus menebal,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

ASMAWI sanggup berhabis wang untuk mengumpulan semua koleksi kisah Sudirman. FOTO Mohd Amin Jalil.
ASMAWI sanggup berhabis wang untuk mengumpulan semua koleksi kisah Sudirman. FOTO Mohd Amin Jalil.

Asmawi yang berasal dari Jengka 13, Pahang, berkata koleksi itu diperoleh daripada pelbagai pihak sama ada orang perseorangan mahu membeli terus di premis perniagaan sekitar Negeri Sembilan, Kedah, Pahang serta Kuala Lumpur.

Kakitangan swasta di Nilai itu berkata, terdapat dalam kalangan rakan yang membantu selepas mereka mengetahui dia mengumpulkan koleksi berkenaan.

Bapa kepada dua anak berusia dua dan enam tahun itu berkata, antara koleksi Sudirman berada dalam pegangannya termasuk kaset memuatkan lagu pertama ‘Teriring doa’, yang diterbitkan dalam bentuk piring hitam pada 1976.

“Kaset yang mengandungi lagu terakhir Allahyarham iaitu Setelah Kau Tiada yang diterbitkan semula pada 1995, juga ada pada saya.

“Masih terdapat beberapa koleksi Sudirman terutama dalam bentuk piring hitam belum saya peroleh kerana harganya sangat tinggi.

“Namun, saya akan terus mencari berusaha mengumpul semua koleksi Sudirman," katanya yang sering menggunakan masa lapang membaca kisah Sudirman dan mendengar lagunya.

Asmawi tidak menafikan terdapat segelintir pihak termasuk rakannya yang cuba memperlekehkan usahanya itu.

Bagaimanapun, menurutnya, dia tidak menghiraukan ejekan dan sindiran pihak berkenaan, sebaliknya akan terus mengumpul dan menyimpan segala koleksi Sudirman kerana akui puas dengan usaha dilakukannya.

Katanya, dia meminati Allahyarham kerana kebolehannya bukan sekadar seorang penyanyi popular yang mencapai status Penghibur Nombor Satu Asia, tetapi seorang tokoh unik.

“Allahyarham seorang individu yang berkebolehan dalam pelbagai perkara selain penyanyi, penghibur dan penggubah lagu, malah beliau adalah peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.

“Allahyarham mesra dan sentiasa menghargai peminat dan kerana sikapnya itu tidak hairanlah beliau mempunyai jutaan peminat.

“Saya kagum dengan kebolehan Allahyarham yang sewajarnya dijadikan contoh kalangan generasi muda hari ini," katanya yang suka meniru gaya Allahyarham dalam pelbagai sudut.

Dalam pada itu, Asmawi mengakui ada pihak menawarkan harga tinggi untuk membeli koleksi berkenaan termasuk mencecah antara RM600 hingga RM1,000 bagi satu piring hitam dan RM1,500 bagi cermin mata (Sudi Shade).

Bagaimanapun, katanya, usaha dilakukannya bukan untuk berniaga tetapi menjadi impiannya untuk mewujudkan sebuah galeri di rumahnya.

“Saya sedang berusaha ke arah itu (mewujudkan geleri Sudirman), namun tidak menetapkan tempoh kerana ia memerlukan dana.

“Saya kini bernaung di bawah Kelab Peminat Sudirman (KPS) yang ditubuhkan pada 2011 dan bakal mengadakan majlis ulang tahun pemergian Allahyarham di Kuala Lumpur pada 22 Februari depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 8:00 PM