MAWI syukur masih kekal bertahan dalam industri hiburan.
MAWI syukur masih kekal bertahan dalam industri hiburan.
Norhayati Nordin


ASMAWI Ani atau Mawi, 41, pernah mencetuskan fenomena pada awal kemunculannya dalam industri hiburan tanah air pada 2005 apabila menyertai Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) dan muncul juara.

Ketika itu, apa saja berkaitan Mawi cukup menjadi perhatian ramai, termasuk peminat sanggup bersesak-sesak di setiap acara hiburan membabitkannya. Bahkan, setiap wartawan yang menulis berita Mawi berbaur gosip pasti akan mener

ima 'surat cinta' daripada peminatnya.

Kini hampir 17 tahun berlalu, Mawi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai Johor masih 'bertahan' dengan bakat seninya yang dicungkil daripada program realiti TV. Dari hanya menyanyi, dia mengorak langkah sebagai pengacara, pelakon, penyampai radio dan sekarang pengarah filem.

Bahkan, bermula dengan keberanian menghasilkan filem pertama berjudul Tiada Tajuk pada 2019, dengan onak liku dilalui Mawi teruskan pula dengan filem kedua, Hantu Kuat Ketawa yang ditayangkan di Astro First pada Januari lalu.

Sekarang, Mawi terbabit dengan penggambaran filem ketiganya, Zim Zim Ala Kazim yang mengangkat kehidupan pendakwah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias. Malah, filem ini dijangka akan menarik perhatian penonton.

Selain Ustaz Kazim, filem yang penggambarannya dibuat di Ipoh, Perak itu membariskan pelakon seperti Along Cham, Zarina Anjoulie, Syanie Hisham, Anas Tahir, Santesh dan ramai lagi.

Dengan bajet pembikinan sebanyak RM500,000 daripada penerbit Mawi World Entertainment Sdn Bhd dan AH 77, Mawi berkata walaupun sumber kewangan itu hasil suntikan dana daripada isteri tercinta, Ekin Rahmat dan saudara kembarnya, Aenn Rahmat, namun sebagai suami tanggungjawab nafkah perbelanjaan tetap 'wajib' diberikannya.

"Saya tak nafikan, dana untuk buat setiap filem yang dihasilkan datangnya daripada isteri saya, Ekin dan adik ipar, Aenn. Mereka banyak membantu saya dari aspek kewangan termasuk sokongan moral untuk terus berkarya. Isteri saya, memang menjaga kewangan.

KARIER nyanyian, Mawi tampil dengan lagu duet, Qasidah Untuk Qamila.
KARIER nyanyian, Mawi tampil dengan lagu duet, Qasidah Untuk Qamila.

"Apapun, yang pasti duit saya ibarat perkongsian bersama isteri, manakala duit dia (Ekin) hanya miliknya saja. Walaupun Ekin mampu ada pendapatan sendiri, nafkah perbelanjaan untuknya tetap saya kena beri juga. Itu kewajipan," katanya.

Mawi yang mendirikan rumah tangga dengan Ekin atau nama sebenarnya Nora' Asikin Rahmat pada 20 Disember 2008, akan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-14, tahun ini. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuaan, Cahaya Malaika, 10.

Mengakui mereka juga tidak terlepas melalui pasang surut dalam kehidupan rumah tangga dibina, Mawi berkata dia dan Ekin selesa mengamalkan sikap berterus-terang. Katanya, tiada rahsia sesama pasangan.

Berbicara pula perjalanan karier seninya kini, Mawi berkata walaupun dia makin selesa menjadi pengarah filem, namun nyanyian tidak dilupakan. Katanya, dia ada saja muncul dengan lagu baharu dihasilkan.

Antaranya, Mawi yang pernah popular dengan lagu Aduh Saliha, baru-baru ini tampil mempertaruhkan lagu duet, Qasidah Untuk Qamila bersama dengan rakan baiknya, Shahir Zawawi juga juara AF8.

Ujarnya, dia gembira dengan kolaborasi mereka.

"Saya bersyukur dapat merakamkan lagu Qasidah Untuk Qamila ini bersama Shahir. Selain bersahabat baik, kami mempunyai misi dan visi yang sama dalam nyanyian. Malah, saya dan Shahir juga senang berbincang serta berkongsi idea bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 6:30 AM