PEMAIN Bass Search, Nasir (kiri) mewakili kumpulannya bersama Ahmad Zaharul. FOTO: Supian Ahmad
PEMAIN Bass Search, Nasir (kiri) mewakili kumpulannya bersama Ahmad Zaharul. FOTO: Supian Ahmad
Syanty Octavia Amry


PENGANJURAN Record Store Day atau Hari Kedai Rekod/Muzik Hari Rekod dapat memberi manfaat kepada peminat dan penggiat seni terutama kepada mereka yang lahir ketika wujudnya bahan rakaman dalam format piring hitam, kaset dan cakera padat (CD).

Dianjurkan setiap tahun pada 13 April di seluruh dunia, kedai muzik milik Datuk Ahmad Zaharul Anuar iaitu Fenomena Music di Plaza Damas, Kuala Lumpur turut tidak ketinggalan dan sambutan dimeriahkan dengan persembahan artis.

Antara yang tampil membuat persembahan dan hadir memberi sokongan ialah Kopratasa, Datuk Khadijah Ibrahim, Dilla Hussein, The Times, Search & Friends, Pitahati dan ramai lagi.

Selaku penganjur, Ahmad Zaharul berkata, acara ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mengingati kewujudan bahan rakaman yang pernah ada.

NATAZAR (kiri) bersama Ahmad Zaharul.
NATAZAR (kiri) bersama Ahmad Zaharul.

“Zaman semakin canggih membuatkan orang kian lupa akan bahan rakaman seperti CD, kaset dan piring hitam. Dengan adanya Record Store Day ini, kita mahu masyarakat terutama anak muda tahu bahan rakaman ini sudah ada sebelum munculnya era digital.

Di samping itu, penjualan beberapa barangan eksklusif juga turut diadakan dan memberi peluang kepada pengumpul barangan seperti ini untuk mendapatkan koleksi kegemaran mereka,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan pelancaran CD single terbaru The Times berjudul Separa Sedar dan tiga CD edisi emas album OAG serta pelancaran LP 30th Anniversary Search dan Karisma LP RSD Gift Set.

“Tahun ini juga adalah ulang tahun ke-30 album Fenomena iaitu album terbaik Search yang mengandungi lagu popular Isabella. Album ini terjual melebihi 250,000 unit di Malaysia dan lebih dua juta unit di Indonesia pada waktu itu. Edisi terhad sampul hitam eksklusif RSD FENOMENA Ulangtahun ke-30 yang mengandungi piring merah (diterbitkan di Jerman) juga dijual.

“Insya-Allah jika tiada halangan acara ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.”

KHADIJAH Ibrahim
KHADIJAH Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 4:30 AM