SEMAH (gambar kiri) isteri kepada Suhaimi yang lemas di perkarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga, di Tanah Merah. FOTO Ihsan Syaherah Mustafa
SEMAH (gambar kiri) isteri kepada Suhaimi yang lemas di perkarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga, di Tanah Merah. FOTO Ihsan Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


“SUAMI tidak menyahut dan berpaling apabila saya memanggilnya, rupa-rupanya itu petanda dia akan meninggalkan saya buat selamanya,” luah Semah Mejah, 56.

Semah isteri kepada Suhaimi Ismail, 57, yang lemas di perkarangan rumahnya di Kampung Renak, Bukit Bunga, di Tanah Merah, 9 pagi hari ini dan ditemui sejam kemudian.

Dia yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, kali terakhir berbual dengan suami sebelum kejadian ketika sedang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) apabila rumah mereka dinaiki air separas 2.5 meter (m).

“Sebelum suami hilang daripada pandangan, dia sempat meminta air mineral kerana haus dan kemudian memberitahu mahu pulang ke rumah untuk menutup suis elektrik.

“Dia sempat meninggalkan dompet yang berisi semua kad pengenalan dan dokumen penting kepada anak sebelum terus berlalu pergi untuk balik ke rumah.

“Pada masa yang sama saya ke kedai untuk membeli sedikit barang. Tidak lama selepas itu, saya didatangi penduduk kampung yang memberitahu suami hanyut dibawa arus air.

“Dunia bagaikan gelap seketika kerana saya dapat mengagak pasti ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Semah yang kelihatan sayu memberitahu bahawa jirannya sempat melihat suaminya seperti melambai-lambai meminta tolong, namun tidak dapat diselamatkan kerana air terlalu deras dengan paras yang tinggi.

“Suami ditemui tersangkut pada pokok berdekatan dengan rumah dalam keadaan tidak bernyawa. Saya reda dengan ketentuan ini biarpun masih terasa seperti bermimpi dengan apa yang berlaku.

“Berat ujian saya dan anak-anak, rumah kami baru dilanda banjir yang agak besar kali ini, sekarang orang yang kami paling sayang tiada. Tidak dapat saya gambarkan kesedihan yang saya tanggung sekarang.

“Insya-Allah jenazah suami akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Bunga, malam ini,” katanya yang juga ibu kepada enam cahaya mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat.

Berita berkaitan

Ajal dihanyut arus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 7:55 PM