MPV yang dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir di Kampung Renek, di sini  semalam. FOTO Ihsan pembaca
MPV yang dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir di Kampung Renek, di sini semalam. FOTO Ihsan pembaca
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Suami isteri berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira 30 minit dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki ketika meredah banjir di Kampung Renek, di sini petang semalam.

Mangsa banjir Hanipah Sulong, 61, berkata, pada awalnya dia bersama suami Nazri Abdul Majid, 65, dalam perjalanan dari rumah ke Jabi untuk membeli lauk.

Katanya, mereka menggunakan jalan belakang terletak 200 meter dari kawasan rumah sebagai jalan pintas untuk meredah banjir kira-kira 11.45 pagi.

"Kami sering menggunakan laluan berkenaan sebelum ini, namun tidak sangka ketika banjir laluan berkenaan agak dalam hingga menyebabkan kenderaan dihanyutkan arus deras ke kawasan kelapa sawit berhampiran sungai.

"Saya bernasib baik kerana tidak panik dan segera menurunkan cermin tingkat sisi apabila kami mula dihanyutkan air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanipah berkata, air mula masuk ke dalam MPV jenis Nissan Livina itu sehingga menenggelamkan tempat duduk sebelum mereka keluar daripada

"Suami keluar dahulu melalui tingkap diikuti saya, pada masa itu air di bahagian luar sudah melepasi paras dada.

"Sebelum keluar dari kenderaan saya sempat mengangkat brek tangan serta mengambil kunci serta barang peribadi.

"Pada masa itu saya hanya fikir perlu keluar segera kereta, selain terus berdoa serta bertakbir supaya kami selamat," katanya.

Katanya, pada awalnya dia berpaut pada kenderaan sebelum berpaut pada pokok, namun akhirnya dia nekad melawan arus bersama suami untuk meminta pertolongan daripada orang kampung.

"Kami diselamatkan orang kampung kira-kira 12.30 tengah hari.

"Kenderaan yang ditenggelami air berjaya ditunda kira-kira jam 5 petang selepas paras air banjir kembali surut.

"Walaupun kenderaan mengalami kerosakan teruk namun kami bersyukur kerana terselamat daripada dihanyutkan arus deras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 6:23 PM