GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


SEORANG gadis orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun dirogol secara bergilir-gilir oleh empat remaja di sebuah pondok di di Semporna, kelmarin.

Perbuatan keji lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa memaklumkan kejadian itu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, seorang daripada suspek membuat panggilan video dengan mangsa.

Katanya, suspek kemudian mempelawa mangsa untuk berjumpa di sebuah pondok yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah mangsa.

Beliau menjelaskan, selepas dipujuk, mangsa yang bisu dan cacat pendengaran itu kemudiannya bersetuju bertemu suspek yang juga jiran mangsa di lokasi dijanjikan, sebelum dirogol bergilir-gilir.

“Bapa mangsa bagaimanapun hanya menyedari anak gadisnya itu tiada di dalam biliknya kira-kira 2 pagi.

“Dia kemudiannya bertindak keluar mencarinya anaknya sebelum ditemukan berada berhampiran rumah ibu mentuanya tidak jauh dari rumah mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelas Sabarudin lagi, mangsa yang hanya boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada bapanya sebelum membuat laporan polis pada hari sama.

Berikutan itu, polis berjaya mengesan dan menangkap semua suspek.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merogol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 8:53 AM