GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Polis menahan tujuh lelaki termasuk enam beradik selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun secara bergilir-gilir di Kampung Pahat Luar, di sini.

Ketua Polis Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata laporan mengenai kejadian diterima jam 9.26 malam kelmarin daripada ibu mangsa yang menyatakan anaknya dirogol secara bergilir-gilir oleh tujuh suspek berusia antara 13 hingga 31 tahun berkenaan yang juga kenalan kepada abang mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku kira-kira 2 petang 3 November lalu dengan ia disaksikan adik lelaki mangsa yang melihat tujuh suspek itu yang merogol mangsa di dalam bilik rumah jiran bersebelahan.

"Hasil siasatan awal, ibu mangsa yang juga suri rumah berusia 36 tahun diberitahu oleh suaminya bahawa anak perempuan mereka berusia 11 tahun dirogol.

"Enam daripada tujuh suspek yang ditahan adalah adik-beradik dengan seorang lagi suspek adalah rakan mereka. Saksi iaitu adik mangsa yang berumur sembilan tahun itu melihat tujuh suspek merogol kakaknya itu.

"Saksi juga memberitahu ada melihat kejadian yang sama berlaku kepada kakaknya sebelum ini dan perkara ini sudah beberapa kali berlaku. Mangsa tidak bersekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kira-kira jam 1.51 pagi semalam.

Menurutnya, saringan awal air kencing bagaimanapun mendapati semua suspek berkenaan bebas pengaruh dadah.

Zulkifli berkata, semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 27 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 2:18 PM