KEADAAN besi implan tulang belakang Hanum yang terkeluar manakala gambar kanan, Mas Hezrin bersama anaknya sebaik tiba di HUKM. FOTO IHSAN MAS HEZRIN MD SALMI
KEADAAN besi implan tulang belakang Hanum yang terkeluar manakala gambar kanan, Mas Hezrin bersama anaknya sebaik tiba di HUKM. FOTO IHSAN MAS HEZRIN MD SALMI
Redzuan Muharam


KANAK-KANAK penghidap hydrocephalus (lebihan cecair dalam otak) dan spina bifida (kecacatan tulang belakang), Mardhiyah Hanum Mas Hezrin, akan menjalani pembedahan mengeluarkan implan besi di belakang tubuhnya dijangka pada 25 November ini.

Bapanya, Mas Hezrin Md Salmi, 37, berkata pembedahan itu akan dijalankan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Keluarga berkenaan yang baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru kira-kira jam 3 petang tadi, berharap pembedahan itu berjalan lancar dan meminta orang ramai mendoakan yang terbaik untuk anaknya yang berusia tiga tahun itu.

“Rasa gementar tetapi kalau boleh, biarlah cepat (pembedahan) kerana kasihan melihat Hanum (nama singkatan) yang sebelum ini tidak begitu selesa dengan besi di belakang badannya.

“Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar dan buat masa ini, Hanum ditempatkan di wad untuk pemantauan sebelum menjalani pembedahan.

“Saya tidak pasti berapa lama Hanum akan ditahan di wad selepas pembedahan tetapi jangkaannya adalah dalam tempoh satu hingga dua minggu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mas Hezrin, selepas tersiarnya kisah mengenai anak bongsunya itu di portal berita Harian Metro, ada beberapa individu menghulurkan sumbangan.

“Terima kasih kepada semua yang prihatin dan menghulurkan sumbangan.

“Saya dan isteri, Maznah Idzuddin amat menghargainya kerana sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban kami membeli keperluan Hanum.

“Moga Allah saja dapat membalas jasa baik semua yang menderma dan mendoakan kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, pada 30 Oktober lalu, portal berita Harian Metro melaporkan kisah kanak-kanak istimewa itu yang lumpuh separuh badan kerana mengalami kecacatan tulang belakang.

Keadaan itu menyebabkan belakang badannya dimasukkan besi bagi menyokong serta meluruskan tulang yang bengkok.

Bagaimanapun, pergerakan Hanum perlu dipantau selepas implan besi di belakang badannya terkeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 8:00 PM