MUHAMMAD Joharee  kini mendapat rawatan di Hospital Serdang akibat mengalami jangkitan kuman pada injap jantung. (Gambar kanan) Wajah Muhammad Joharee ketika menghiasi majalah fesyen sebelum ini.
MUHAMMAD Joharee kini mendapat rawatan di Hospital Serdang akibat mengalami jangkitan kuman pada injap jantung. (Gambar kanan) Wajah Muhammad Joharee ketika menghiasi majalah fesyen sebelum ini.
Redzuan Muharam


WAJAH Muhammad Joharee Johari pernah menghiasi majalah fesyen selain diberi kepercayaan memperagakan persalinan rekaan pereka fesyen terkenal di pentas peragaan.

Namun, bekas pramugara berusia 29 tahun itu kini diuji selepas mengalami masalah kesihatan berikutan berlaku jangkitan kuman pada injap jantungnya.

Kini, Muhammad Joharee mendapat rawatan di Hospital Serdang selepas dipindahkan dari pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Selangor, semalam.

Muhammad Joharee berkata, simptom penyakit berkenaan disedarinya sejak empat bulan lalu dan mendapat pengesahan doktor hasil ujian darah dijalankan pada awal bulan ini.

“Antara simptom awal dialami adalah badan terasa lebih sejuk walaupun ketika di tempat panas dan kerap menggigil.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya ke klinik kesihatan kerajaan bagi menjalani pemeriksaan, namun doktor memaklumkan badan saya dalam keadaan normal.

“Namun, keadaan tidak berubah sebaliknya, wajah saya semakin cengkung dan pucat, malah badan sering tidak bermaya.

“Memandangkan keadaan bertambah teruk, saya ke klinik swasta bagi melakukan semula pemeriksaan dan akhirnya dirujuk ke hospital selepas doktor mendapati adanya jangkitan kuman pada injap jantung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Joharee berkata, pada mulanya, keluarga bercadang merujuknya ke hospital kerajaan, tetapi akhirnya memilih pusat perubatan swasta sebagai alternatif kerana ketiadaan pakar dan kekurangan katil di wad ketika itu.

Katanya, kos rawatan dikenakan di luar kemampuannya dan keluarga, tetapi dia bersyukur kerana mendapat sumbangan orang ramai yang membolehkannya menjelaskan bil selama empat hari berada di hospital.

“Kalau diikutkan, saya perlu dirawat di hospital swasta itu selama enam minggu dengan kos rawatan RM1,500 setiap hari dengan anggaran RM100,000 keseluruhan.

“Bagaimanapun, berat untuk kami sekeluarga mencari dana sebanyak itu dalam waktu singkat dan disebabkan itu, kami terpaksa membuat hebahan bagi meminta bantuan orang ramai di laman sosial.

“Pada masa sama, keluarga berikhtiar menguruskan perpindahan hospital dan mujurlah proses itu berjalan lancar kerana kami yakin, kos rawatan akan jadi lebih meningkat jika terus mendapatkan rawatan di situ (hospital swasta).

“Buat masa ini, saya diberi antibiotik tetapi ia hanya berkesan untuk membuang kuman dan pembedahan tetap perlu dijalankan cuma belum ada tarikh muktamad serta jumlah kos perlu dibayar,” katanya.

Menurutnya, dia reda dengan ujian itu dan masih berharap untuk sembuh serta dapat bekerja semula seperti biasa berikutan terpaksa mengambil cuti sakit ketika ini.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan atau mengetahui perkembangan lanjut boleh menghubungi ibunya, Noriza Yusof di talian 017-2400835.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:04 PM