JEMAAH menyediakan roti canai sambil berkerusi roda.
JEMAAH menyediakan roti canai sambil berkerusi roda.
Oleh Rosman Shamsudin


Sungkai: Walaupun berkerusi roda namun ia bukan penghalang bagi seorang wanita bekerja mencari rezeki bagi menjalani kehidupan.

Buktinya, warga emas, Jemaah Yusuf, 70, setiap hari bermula jam 6.30 pagi menebar roti canai dengan keadaan berkerusi roda di gerai berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kruit, Sungkai.

Lebih menarik, meskipun berkerusi roda, kecekapan menguli tepung, menebar dan membakar roti canai termasuk rasanya tetap sama seperti penebar roti normal.

Jemaah berkata, dia sebelum ini mampu berdiri dan bergerak ketika berniaga namun selepas diserang sakit lutut menyebabkan bergantung kepada kerusi roda.

Menurutnya, dia berkerusi roda sambil menebar dan memasak roti canai sejak lima tahun lalu.

"Pada 2006 saya menjalani pembedahan lutut kanan dan enam tahun kemudian doktor mencadangkan pembedahan lutut kiri pula.

"Saya boleh berjalan pelahan-lahan selepas pembedahan pertama, tetapi selepas tiga bulan, malangnya saya terjatuh di dalam bilik air .

"Doktor melakukan imbasan dan mengesyorkan pembedahan lutut kiri, tetapi tidak memberi jaminan dapat berjalan semula. Kos pembedahan menelan belanja RM15,000," katanya, dekat sini.

JEMAAH   mengambil pesanan daripada pelanggan di gerainya  berhadapan SMK Sungai Kruit, Sungkai.
JEMAAH mengambil pesanan daripada pelanggan di gerainya berhadapan SMK Sungai Kruit, Sungkai.

Jemaah mengakui selepas meneliti kos pembedahan yang mahal dengan pendapatan tidak menentu, malah tiada jaminan dapat berjalan menyebabkan dia membatalkan pembedahan.

Justeru, dia kini tidak mampu berjalan normal dan perlu bertongkat serta berkerja dengan kerusi roda.

"Mulanya, sukar hendak biasakan diri menyediakan roti canai, tetapi lama kelamaan saya ia menjadi lebih mudah.

"Kadangkala ada juga pelanggan pelik cara mak cik menyediakan roti canai sambil berkerusi roda," katanya.

Setiap hari dengan kudrat dan tenaga usianya, dia mampu menyediakan 60 keping roti canai yang dijual RM 1.20 sekeping.

Roti canai dimakan bersama kuah dal atau kari mengikut selera dan pilihan pelanggan.

"Saya berniaga makanan sejak usia 30 tahun dan belajar cara menyediakan roti canai daripada pekerja yang membuat roti canai di sini.

"Saya perhatikan cara pekerja terbabit membuat roti canai dan selepas dia berhenti saya menggantikannya," katanya.

Dia yang tinggal di Felda Sungai Klah berkata, selain roti canai, dia yang dibantu tiga anak turut menyediakan menu makanan tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 7:01 AM