Mohd Najmuddin Mohd Noh (kanan) menebar  roti canai  berwarna hijau kuning yang diagihkan secara percuma kepada pelanggan di kedai miliknya di Taman Tunku Maheran sempena pasukan bolasepak Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor pada malam ini. FOTO Amran Hamid
Mohd Najmuddin Mohd Noh (kanan) menebar roti canai berwarna hijau kuning yang diagihkan secara percuma kepada pelanggan di kedai miliknya di Taman Tunku Maheran sempena pasukan bolasepak Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor pada malam ini. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Pemilik Restoran Didie Canai di sini, mengotakan janjinya apabila memberi roti canai 'Hijau Kuning' percuma kepada pelanggannya mulai 7 malam tadi.

Ia sebagai menghargai sokongan peminat pasukan Kedah dan menyemarakkan lagi kehangatan perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah melawan Selangor sebentar nanti.

Malah, pemiliknya, Mohd Najmuddin Mohd Nor, 29, berkata, dia akan menambah lagi 300 keping berbanding 200 keping dicadang sebelum ini bagi penyokong Hijau Kuning yang hadir di restorannya.

Katanya, pelanggan juga diberi air sirap hijau dan jagung secara percuma sebanyak 500 cawan untuk menaikkan semangat penonton.

"Orang ramai boleh menonton perlawanan secara langsung melalui skrin besar yang disediakan di sini.

"Malam ini semuanya saya bagi roti canai dan air percuma dengan harapan pasukan Kedah menjuarai perlawanan Piala Malaysia tahun ini," katanya.

Katanya, usaha dilakukannya mendapat sambutan memuaskan dan orang ramai datang awal untuk mendapatkan roti canai Hijau Kuning percuma itu.

"Semua ini dilakukan selepas saya melihat semangat kuat penyokong yang tidak jemu menyokong pasukan Hijau Kuning sehingga tidak mahu lepas peluang setiap kali menyaksikan setiap perlawanan membabitkan pasukan Kedah.

"Pelanggan hanya boleh menikmati roti canai Hijau Kuning malam ini saja," katanya ditemui di restorannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 8:59 PM