Zuliaty Zulkiffli

Jitra: 'Bahang' final Piala Malaysia mencetus ilham kepada pemilik Restoran Didie Canai di Taman Tunku Maheran, di sini, apabila dia menghasilkan roti canai istimewa bertemakan 'Hijau Kuning' mulai hari ini.

Roti canai yang diletak pewarna hijau dan kuning itu serta disajikan bersama gulai kari istimewa hanya diperkenalkan empat hari bermula hari ini bagi menzahirkan sokongan kepada skuad Kedah atau Helang Merah itu.

Pemiliknya, Mohd Najmuddin Mohd Nor, 29, berkata, idea untuk menghasilkan roti canai Hijau Kuning itu terhasil selepas dia melihat semangat kuat penyokong ketika menyaksikan setiap perlawanan membabitkan pasukan Kedah.

Katanya, malah dia juga akan memberi 200 roti canai istimewa itu percuma khas untuk penyokong terawal pada hari perlawanan Piala Malaysia Kedah menentang Selangor, Ahad ini, mulai jam 6 petang.

"Roti canai hijau dan kuning ini akan dihidang dalam satu pinggan untuk pelanggan menikmatinya secara percuma, tapi terhad 200 keping sahaja.

"Kita juga menyediakan skrin besar untuk orang ramai yang tidak berpeluang ke Stadium Shah Alam, Selangor menonton perlawanan itu di sini.

"Selain itu, makanan lain seperti makanan barat dan 'Shell out'turut dijual di sini," katanya ditemui di restorannya, semalam.

Mohd Najmuddin berkata, orang ramai boleh datang ke restorannya di Taman Tunku Maheran, Jitra Kedah mulai hari ini untuk menikmati roti canai Hijau Kuning tetapi pemberian percuma hanya untuk Ahad ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 10:10 AM
Mohd Najmuddin Mohd Noh (dua dari kiri) menebar roti canai  yang diwarnakan dengan warna hijau kuning di kedai miliknya di Taman Tunku Maheran sempena pasukan bolasepak Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor pada Ahad ini. FOTO AMRAN HAMID
Mohd Najmuddin Mohd Noh (dua dari kiri) menebar roti canai yang diwarnakan dengan warna hijau kuning di kedai miliknya di Taman Tunku Maheran sempena pasukan bolasepak Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor pada Ahad ini. FOTO AMRAN HAMID