Mohd Najmuddin menyediakan roti canai Jalur Gemilang. FOTO Amran Hamid
Mohd Najmuddin menyediakan roti canai Jalur Gemilang. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


PENIAGA restoran, Mohd Najmuddin Md Noor, 30, dari Taman Tunku Maheran, Jitra mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan semangat patriotiknya apabila menghasilkan roti canai diberi nama Jalur Gemilang.

Roti canai berkenaan dihidangkan percuma kepada 500 pengunjung restoran itu mulai 6 petang semalam.

Mohd Najmuddin yang juga pemilik Restoran Didie Roti Canai berkata, dia mengambil masa tiga jam untuk menghasilkan doh roti canai Jalur Gemilang itu menggunakan 30 kilogram tepung gandum berkualiti.

Katanya, dia menggunakan empat pewarna makanan iaitu merah, kuning, biru dan putih untuk menghasilkan roti canai Jalur Gemilang.

"Idea ini tercetus untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara selain menghargai pelanggan yang selama ini menyokong perniagaan saya.

"Saya turut membuat hebahan di Facebook semalam dan tak sangka ramai yang datang untuk menikmati hidangan percuma ini," katanya ditemui di restorannya hari ini.

Mohd Najmuddin berkata, itu kali pertama dia menghasilkan doh roti canai Jalur Gemilang dan bercadang meneruskannya pada masa depan.

"Selain makan roti canai, tetamu juga dihidangkan minuman panas dan sejuk secara percuma dan saya amat teruja dengan sambutan yang diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 3:35 PM