AHMAD mengangkat 140kg beras pada Karnival Pesawah dan Hari Bertemu Pelanggan IADA Pekan 2019.
AHMAD mengangkat 140kg beras pada Karnival Pesawah dan Hari Bertemu Pelanggan IADA Pekan 2019.
Mohd Rafi Mamat


USIANYA lebih setengah abad namun kudrat Ahmad Salleh, 59, menyamai orang muda apabila mampu mengangkat 70 kampit beras seberat 140 kilogram (kg).

Kebolehan luar biasa datuk kepada tiga cucu itu melayakkannya dinobatkan sebagai Badang Beras kategori lelaki pada Karnival Pesawah dan Hari Bertemu Pelanggan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan 2019 di Kampung Permatang Durian, Merchong, kelmarin.

Ahmad yang mengusahakan sawah seluas 25 hektar berkata, dia tidak menyangka penyertaannya buat kali pertama dalam pertandingan itu membuahkan hasil.

Dalam kategori wanita, juara berpihak kepada gadis kelahiran Terangganu, Nurul Fatih Shahidah Mohd Aminuddin, 20, yang mengangkat 20 kampit beras seberat 40kg.

Pertandingan berkenaan disertai lebih 50 peserta lelaki dan wanita.

Menurutnya, bermula dengan mengangkat 90kg bebanan diikuti 100kg, 120kg dan 130kg. Cabaran terakhir ialah 140kg yang menjadi kemuncak acara apabila dua peserta bersaing.

“Tidak ada petua apa digunakan sepanjang pertandingan. Saya hanya berdoa dan yakin pada diri sendiri selain mendapat suntikan semangat daripada rakan sekampung.

“Saya biasa dengan kerja berat seperti mengangkat guni padi, tandan sawit dan baja. Faktor itu membolehkan saya memikul beras seberat 140kg,” katanya yang menetap di Kampung Permatang Durian.

Beliau berkata, dia bersyukur berjaya membawa pulang 35 kampit beras seberat 70kg. Rezeki itu akan dikongsi dengan ahli keluarga.

Turut berjaya mengangkat 140kg beras ialah pekerja ladang sawit kelahiran Terengganu, Borhan Zakaria, 34.

Hadiah disampaikan Timbalan Setiausaha Bahagian Industri Padi Beras Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Badaruddin Mohd Kassim. Hadir sama, Pengarah IADA Pekan, Muhamad Khalil Idris.

Program dua hari itu dimeriahkan pelbagai aktiviti seperti pameran agensi MOA, gerai jualan, ceramah pertanian, anugerah pesawah, sukaneka dan penyampaian hadiah fotografi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:35 AM