AL-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli mengendali jentera mesin menanam padi selepas merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air Permatang Durian, Skim Merchong, hari ini. Turut kelihatan Mohamad Sabu. FOTO Bernama
AL-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli mengendali jentera mesin menanam padi selepas merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air Permatang Durian, Skim Merchong, hari ini. Turut kelihatan Mohamad Sabu. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan optimis amalan pertanian baik seperti Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan mampu diaplikasi di kawasan penanaman padi di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ini berikutan pelaksanaan program itu di Kampung Lat 1000, Perlis di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10.45 tan metrik per hektar.

Beliau berkata pelaksanaan program itu di Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (Ketara), Terengganu pula berjaya mencatatkan hasil sebanyak tujuh tan metrik per hektar.

"Kerajaan memandang serius perkara ini (pelaksanaan program) dan pelbagai usaha pemulihan serta intervensi telah diambil untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi negara bagi memastikan bekalan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi sepanjang masa.

"Insya-Allah amalan pertanian baik di Sekinchan ini mampu diaplikasikan di Pekan, Pahang dan seluruh kawasan penanaman padi di seluruh negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Program SMART SBB Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, Skim Merchong di Pekan.

SMART SBB Ala Sekinchan adalah model baharu dengan menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktik Pengetahuan, Sikap dan Amalan yang dilancarkan pada Mei 2023.

Antara lain, ia bermatlamat meningkatkan pendapatan pesawah dengan mengaplikasikan amalan penanaman padi terbaik dan mengeluarkan padi lebih bersasar menerusi pembangunan kawasan secara berkelompok.

Mohamad juga berharap semua pihak berkepentingan dalam industri padi dan beras negara, bermula daripada kementerian sehinggalah para pesawah, perlu memainkan peranan masing-masing dengan baik serta berkesan untuk memastikan pengeluaran hasil lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 10:12 PM