ITO. FOTO Arkib NSTP
ITO. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Blues Gang, Ito Mohd, kini dalam proses membantu menantunya, Arzani Armali bagi menguruskam isu hak harta intelek neneknya yang juga Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Ito berkata, Saloma masih memiliki pewaris sehingga hari ini, namun penggunaan namanya di pelbagai acara contohnya Pasar Saloma adalah tanpa pengetahuan pewarisnya.

Bapa Arzani iaitu Armali Aman Ramlie adalah anak hasil perkahwinan Saloma dengan Allahyarham AR Tompel.

"Ramai tak tahu bahawa Armali adalah besan saya. Baru-baru ini, ada dibuka Pasar Saloma tanpa sebarang perjanjian apa-apa. Tolonglah. Saloma ada anak dan cucu. Ini yang saya rasa kurang mengenai harta intelek di Malaysia," katanya.

Ito berkata, Arzani meminta pendapatnya mengenai prosedur yang harus dilakukan dan kerana itu, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan penganjur acara Pasar Saloma itu.

"Saya berbincang dengan penganjur Pasar Saloma yang berlangsung sekarang. Menantu saya cakap, apa perlu buat sebab mereka tak buat surat dan sebagainya. Nama, gambar Saloma digunakan. Ini biduanita negara.

"Saya dah berjumpa dengan penganjurnya minggu lalu. Ada dua perkara dibincangkan iaitu mahkamah dan selesaikan di luar mahkamah. Penganjur belum cakap apa-apa dan kami pun kena berbincang dengan peguam dulu.

"Jadi, dua minggu selepas perbincangan pertama, kalau tak ada sebarang keputusan terbaik, kami akan berbincang dengan peguam," katanya.

Menurut Ito, perkara ini akan dibawa ke mahkamah sekiranya perlu kerana nama Saloma masih belum boleh dijadikan 'public domain' memandangkan dia meninggal dunia 41 tahun lalu.

"Kami akan bawa ke mahkamah sebab keturunan dan pewaris Saloma masih ada lagi. Mana boleh buat ikut suka saja sebab belum jadi khazanah.

"Selepas 50 tahun kematian seseorang, barulah boleh dijadikan 'public domain'. Sebelum itu, tak boleh. Macam saya nanti dah mati pun, saya kena jaga juga benda begitu.

"Saya tengok di TV, Ahmad Dhani menyanyi lagu Madu Tiga dan depan dia ada berpuluh ribu orang. Memang kena bayar. Tinggal lagi, mereka cakap P Ramlee dah meninggal dunia lebih 50 tahun.

"Sebenarnya, undang-undangnya, lagu itu dimainkan di Indonesia yang mana, jangka hayat untuk menjadi 'public domain' adalah 70 tahun. Di Malaysia saja 50 tahun," katanya.

Saloma dan Tompel berkahwin pada 1952 dan mereka dikurniakan seorang anak, Armali Aman Ramlie sebelum mereka bercerai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 11:31 AM