KAWASAN bertanam padi di seluruh negara adalah seluas kira-kira 700,000 hektar sahaja.
KAWASAN bertanam padi di seluruh negara adalah seluas kira-kira 700,000 hektar sahaja.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Petani warga Bangladesh 'takluk' Sekinchan? Sejumlah 12 hektar tanah diusahakan bukan sedikit, tidak mustahil saiznya akan 'membesar' jika dibiarkan. Mengapa ia begitu mudah berlaku, apa punca tanah itu diberi kepada mereka untuk diusahakan, di mana pihak berkaitan yang sepatutnya melindungi kedaulatan tanah ini serta petani, bagaimana pula dengan nasib petani tempatan? Ikuti wawancara Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) AZMAN MAHMOOD bersama wartawan, YUSMIZAL DOLAH ALING bagi mengupas isu ini.


Tanah sawah milik orang tempatan kini diusahakan warga Bangladesh.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) sudah mendapat makluman dan mengenal pasti kawasan-kawasan sawah yang telah bertukar menjadi kebun sayur-sayuran oleh warga asing seperti Bangladesh dan Rohingya.

Selain itu, Mafi juga mendapati terdapat beberapa kawasan penanaman kelapa sawit telah melepasi sempadan tanah sawah.

Keadaan ini akan menyebabkan tanaman padi terkena serangan penyakit seperti ulat batang.

Ketika ini, kawasan bertanam padi seluruh negara adalah seluas kira-kira 700,000 hektar sahaja jika dibandingkan dengan keluasan tanaman padi di Thailand dan Vietnam yang mana masing-masing adalah seluas 10 juta hektar dan 7.5 juta hektar.


Warga Bangladesh merantau ribuan kilometer untuk bekerja dan kini jadi 'tauke' di bumi Malaysia. Apa isu dan masalahnya?

Sebelum ini, pembabitan warga asing terutamanya warga Bangladesh dalam sektor pertanian hanya membabitkan pekerja bagi industri tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di Cameron Highlands.

Berikutan dengan kenaikan harga baja dan racun, pekerja asing ini berhijrah ke negeri-negeri lain dan mengusahakan tanaman sayur di tanah sawah.

Ketika ini, hampir 60 peratus pesawah yang terdiri daripada warga tempatan sudah berusia dan tidak larat untuk mengusahakan sawah padi.

Generasi muda pula tidak berminat dan lebih cenderung untuk bekerja dalam sektor lain selain pertanian.

Secara umumnya, rakyat Malaysia tidak berminat bekerja dalam pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) mengakibatkan sektor tertentu dimonopoli pekerja asing.


Kini ada 12 hektar, selepas ini tidak mustahil saiznya akan bertambah. Bagaimana mahu mengatasi isu kedaulatan tanah ini?

Dalam hal ini, Mafi akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Tanah dan Galian terutamanya di peringkat negeri serta sentiasa menyarankan agar kawasan tanah sawah dikekalkan.

Pertukaran tanaman selain padi di atas tanah-tanah sawah sama sekali tidak dibenarkan kerana ia akan mengancam pengeluaran padi dan beras negara sekali gus membabitkan sekuriti bekalan makanan negara.

Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk menukarkan tanah sawah kepada tanaman lain tanpa kebenaran daripada Mafi.


Petani atau pemilik tanah tempatan tiada modal mencukupi untuk mengusahakan tanah mereka. Mungkin boleh ditubuhkan koperasi untuk atasi masalah ini seterusnya membolehkan penanaman dijalankan secara besar-besaran serta sistematik.

Untuk makluman, penubuhan satu-satu koperasi memerlukan sekurang-kurangnya 50 ahli untuk menghadiri mesyuarat agung.

Jika jumlah ahli dapat dikurangkan kepada sekurang-kurangnya 20 orang, hal ini akan lebih memudahkan proses penubuhan koperasi dan sistematik.

Selain itu, skim bantuan kredit turut disediakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mana ia merupakan satu pembiayaan untuk meringankan beban pesawah.

Skim bantuan kredit ini diberikan kepada ahli-ahli yang mengusahakan Mini Estet Padi di bawah pengurusan PPK.

Kadar pemberian bantuan kredit oleh PPK ini bergantung kepada kos pengurusan ladang tanaman padi dan kedudukan kewangan sesebuah PPK.

Agrobank juga ada menyediakan perkhidmatan pinjaman mudah kepada pesawah yang layak untuk mengusahakan sawah mereka.


Adakah tanah diusahakan warga Bangladesh itu boleh diambil dan diserahkan semula kepada pemilik untuk diusahakan.

Mafi akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian untuk menggazetkan kawasan terlibat sebagai kawasan tanaman padi.

Mafi akan memastikan tanah sawah tersebut dikembalikan semula dan digunakan untuk penanaman padi.


Mafi tahu berkaitan isu ini sejak bertahun lalu. Tiada tindakan diambil sepanjang tempoh berkenaan?

Mafi mengakui tiada pemantauan dan tindakan yang diambil sejak bertahun lalu.

Bagaimanapun, ketika ini, pembabitan warga asing masih boleh dikawal dan ia membabitkan kawasan seluas 12 hektar yang bertukar daripada tanah sawah padi kepada tanaman lain.

Justeru, Mafi akan melaksanakan pemantauan bersama agensi yang berkepentingan dan akan memastikan hanya warga tempatan yang mengusahakan tanaman sawah padi.

Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


Keselamatan makanan negara turut terletak di bahu Mafi. Apa yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan secara terus isu sawah diusahakan warga Bangladesh.

Penggunaan beras bagi penduduk Malaysia dalam sebulan adalah 200,000 tan metrik.

Pengeluaran beras tempatan pula hanya membekalkan 140,000 tan metrik manakala baki 60,000 tan metrik beras ditampung melalui beras import.

Peningkatan warga Bangladesh dalam sektor pertanian adalah satu perkembangan yang menggusarkan kerana ia akan memberi kesan kepada pengeluaran padi negara.

Sehingga kini, Mafi mendapati, hampir 200 tenaga buruh asing bekerja sebagai pesawah di tujuh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) sejak beberapa tahun lalu.

Bagi mengelakkan warga asing mendominasi sektor penanaman padi, Mafi memperkenalkan program SMART Sawah Berskala Besar atau lebih dikenali sebagai SMART SBB.

Program ini mewajibkan kesemua syarikat peneraju menggunakan tenaga kerja tempatan sepenuhnya.

Mafi akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengatasi perkara ini.


Ramai melihat Smart SBB mampu menyelesaikan banyak isu petani.

Program SMART SBB ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara.

Ia dilakukan menerusi pengurusan sawah dan input pertanian yang lebih teratur serta cekap, pengaplikasian teknologi moden selain pembabitan entiti swasta di sepanjang rantaian nilai sehingga ke peringkat hiliran.

Pada masa sama, program ini bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan pesawah padi melalui kerjasama pintar dengan pemain industri secara langsung menggunakan pendekatan pertanian kontrak (contract farming).

Perkembangan tanaman padi dipantau bermula dari benih padi sehingga padi diproses menjadi beras.

Contoh, penanaman padi varieti MR 297 akan dipantau selama 110 hari untuk memastikan padi mengeluarkan hasil yang tinggi dan berkualiti.

Sehingga Oktober 2021, 3,811 orang pesawah sudah mendapat manfaat daripada Program SMART SBB membabitkan kawasan seluas 9,777.7 hektar di beberapa tempat termasuk IADA Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak.

Setakat ini, 18 syarikat peneraju sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mafi.

Program SMART SBB menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada 7.0 tan metrik sehektar dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berbanding purata hasil semasa sekitar 3.5 hingga 4.3 tan metrik sehektar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:40 AM