Noor Hidayah Tanzizi

Seberang Perak: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkenalkan projek rintis integrasi tanaman padi dan ternakan udang galah pertama di negara ini untuk meningkatkan pendapatan pesawah.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek berkenaan dilaksanakan di Seberang Perak oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan kerjasama syarikat Thirty Three Management Sdn. Bhd.

Menurutnya, ia membabitkan tanah seluas lebih satu hektar dengan nisbah pembahagian 70 peratus tanaman padi, manakala 30 peratus lagi adalah ternakan udang galah.

"Projek ini juga akan menambahkan pendapatan pesawah, jadi (mendapat) hasil pada tuaian padi dan juga udang galah. Padi akan diusahakan selama tiga bulan, manakala udang galah lima bulan yang boleh memberikan hasil tambahan.

"Projek sama juga dirancang akan diusahakan di kawasan IADA Pekan dan IADA Rompin, Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan tanaman padi menerusi kaedah Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di FELCRA Seberang Perak, di sini, hari ini.

DR Ronald Kiandee (tengah) melepaskan benih udang galah di Seberang Perak. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DR Ronald Kiandee (tengah) melepaskan benih udang galah di Seberang Perak. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Turut hadir, Timbalan Menteri MAFI l, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri MAFI ll, Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Ronald berkata, pendapatan udang galah adalah unjuran yang mengalakkan dan menguntungkan kepada pesawah.

"Pesawah yang terbabit dalam projek ini dijangka mendapat pulangan dianggarkan melebihi RM10,000 dengan jualan hasil padi dan udang galah bagi keluasan satu hektar berbanding hanya hasil padi dengan purata anggaran sekitar RM5,000 pada keluasan yang sama," katanya.

Ronald berkata, sawah padi seluas 140 hektar di kawasan FELCRA Seberang Perak sedang diusahakan menerusi program SMART SBB yang menjadi salah satu inisiatif MAFI bagi mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu sebanyak 75%.

Katanya, inisiatif SMART SBB dijangka dapat meningkatkan pendapatan pesawah sebanyak 47 peratus atau RM2,521 per hektar semusim berbanding kaedah sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 2:43 PM