ARTHUR Joseph Kurup (tengah) menyerahkan jentera pembajak dan jentuai untuk pesawah di IADA Kota Belud. FOTO Ihsan KPKM
ARTHUR Joseph Kurup (tengah) menyerahkan jentera pembajak dan jentuai untuk pesawah di IADA Kota Belud. FOTO Ihsan KPKM
Izwan Abdullah

Kota Belud: Dua varieti padi berhasil tinggi, Siraj MR 297 dan MR 269 mula diperkenalkan di Sabah bagi memberi lebih pilihan kepada pesawah di negeri ini untuk menanam benih padi berkualiti dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) tanaman padi negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kedua-dua varieti itu kini dalam peringkat percubaan di Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran.

Katanya, penanaman percubaan benih baharu itu bagi melihat keberkesanan dan potensi pengeluaran varieti padi berkenaan sebelum diagihkan kepada pesawah di seluruh negeri.

"Kita yakin benih padi yang baharu ini akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan pesawah," katanya selepas Sesi Touchpoint Bersama Pesawah dan Lawatan Stokpail Beras Negara di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud di sini, semalam.

Arthur berkata, kemasukan benih baharu padi itu ke Sabah adalah inisiatif kerjasama dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah dalam usaha meningkatkan tahap SSL tanaman padi.

Tahap SSL tanaman padi di Sabah ketika ini masih rendah dengan kadar kira-kira 23 peratus menyebabkan negeri ini masih bergantung kepada beras import untuk menampung keperluan penduduknya.

Sementara itu, Arthur berkata, pembinaan Kompleks IADA Kota Belud dijangka disiapkan menjelang 2027 jika proses tender projek itu dapat diselesaikan pada tahun ini.

"Kerja tapak sudah selesai dilaksanakan dan kita berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dapat membuka tender projek Pembangunan IADA Kota Belud pada tahun ini.

"Sekiranya projek ini berjaya ditender pada tahun ini, Kompleks IADA Kota Belud dijangka dapat disiapkan pada tahun 2027," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 8:35 AM