GAMBAR kenangan Shamsul Kamal bersama isteri, Zahizan dan anaknya.
GAMBAR kenangan Shamsul Kamal bersama isteri, Zahizan dan anaknya.
Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: Selepas sembilan bulan terlantar akibat strok otak, aktivis masyarakat, Shamsul Kamal Jamaludin, 46, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), kelmarin.

Isterinya, Zahizan Hasrin, 43, berkata, arwah terlantar sejak 9 Oktober tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir jam 2.30 pagi.

“Sebenarnya, semua persiapan termasuk peralatan perubatan untuk menjaganya di rumah mencukupi kerana merancang membawa dia pulang ke rumah.

“Namun tahap kesihatannya merosot dan mengalami jangkitan kuman. Oleh itu doktor meneruskan rawatan di hospital dan menasihatkan kami membawanya pulang selepas keadaannya lebih baik,” katanya.

Zahizan berkata, dia berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi membolehkan keluarganya menyediakan dana membeli pelbagai peralatan perubatan untuk menjaganya di rumah.

“Hanya Allah saja mampu membalas jasa baik mereka dan diharap suami tenang di sisi Allah. Sudah sembilan bulan dia bertarung nyawa, akhirnya dia berehat selama-lamanya.

“Kami akan merinduinya terutama keperibadiannya yang mulia termasuk gemar membantu orang dalam kesusahan,” katanya.

SHAMSUL Kamal yang menerima rawatan di HSA akibat strok otak sebelum ini menerima kunjungan kenalan.
SHAMSUL Kamal yang menerima rawatan di HSA akibat strok otak sebelum ini menerima kunjungan kenalan.

Pada 1 Februari lalu, Harian Metro mendedahkan kisah Shamsul Kamal yang tidak mengenal penat untuk membantu komuniti, tetapi dia dijangka berehat sepanjang hayat apabila doktor menyatakan dia mungkin terlantar seumur hidup akibat strok otak.

Shamsul Kamal yang bekerja sendiri aktif sebagai sukarelawan di beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak lebih lima tahun gemar membantu pelbagai lapisan masyarakat dan bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengira waktu termasuk menolak urusan perniagaan.

Antara golongan yang dibantu suaminya termasuk pesakit kronik, golongan Orang Kurang Upaya (OKU), daif, warga emas dan sebagainya.

Walaupun doktor membenarkan penjagaan di rumah kerana sudah tamat rawatan namun keluarganya tidak dapat membawanya pulang kerana dia bergantung kepada mesin bantuan pernafasan, mesin penyedut kahak dan tabung oksigen dengan anggaran kos kemudahan itu sebanyak RM58,950.

Shamsul Kamal memiliki empat anak termasuk seorang zuriat hasil perkongsian hidup bersama Zahizan selain tiga anak hasil perkahwinan terdahulu di Pulau Pinang.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:30 AM