SYAMEL dan Ernie Zakrie. FOTO: Mohamad Shahril Badri
SYAMEL dan Ernie Zakrie. FOTO: Mohamad Shahril Badri
Sudirman Mohd Tahir


RAMADAN tahun ini memberikan pengalaman baru buat pasangan duet popular tanah air, Syamel dan Ernie.

Selain giat mempromosikan single duet terbaru berjudul Takkan Terlerai, pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) itu muncul dengan lagu raya, Seru Hari Lebaran.

Menariknya, lagu raya pertama mereka itu mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik terkenal, Siso dan S Atan.

Menurut Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 26, lagu berentak inang itu menggamit memori lebaran.

“Ini lagu raya pertama kami berdua. Lagu ini bunyi klasik dan menggamit kenangan. Kami pula memang meminati dan menanti lagu genre ini.

“Alhamdulillah, impian kami tercapai, apatah lagi dapat bekerjasama dengan dua komposer hebat. Sebab itu saya berasa seronok dapat merakamkan lagu ini,” katanya.

SAMBUTAN Ramadan dan raya Syamel dan Ernie kali ini paling padat dengan kerja.
SAMBUTAN Ramadan dan raya Syamel dan Ernie kali ini paling padat dengan kerja.

Selain itu, Syamel juga giat menyertai program jualan selepas melancarkan koleksi baju Melayu sendiri Syamel Ernie X Sara J.

“Tahun ini ada sedikit kelainan daripada saya dan Ernie yang mana kami mulakan perniagaan. Kami menjual baju Melayu dan baju kurung dengan kolaborasi bersama pereka Sara J.

“Ini pengalaman baru dan tidak terkira buat kami. Alhamdulillah, kami juga diberi kesempatan untuk berniaga di beberapa festival bazar di Singapura dan Kuala Lumpur.

“Ia sedikit sebanyak memberikan ilmu buat kami yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang, Syamel berkongsi ia disambut secara sederhana.

“Saya tak ada kampung dan beraya di Ampang saja. Cuma, tahun ini sedikit janggal sebab baru kehilangan datuk.

“Namun, ia bukan penghalang untuk kami berkumpul di rumah arwah di Bandar Tun Razak dan menjalani pagi raya seperti biasa. Kami tetap akan buat rutin hari raya seperti sebelum ini,” katanya.

Diusik mengenai hasrat peminat yang inginkan dirinya dan Ernie menjadi pasangan kekasih sebenar, Syamel menghormati pandangan mereka.

“Peminat adalah golongan yang harus dihargai. Apabila mereka menyuarakan pendapat atau pandangan, kita harus hormati. Saya tak akan marah atau anggap ia merimaskan apabila ada harapan sebegitu.

“Selagi ia bukan negatif atau doa jahat, saya takkan marah. Lagipun, mereka mendoakan sesuatu yang baik. Jadi, apabila mereka berikan pandangan sebegitu, saya harus bersyukur. Ia bukti mereka ingat dan ambil berat.

Alhamdulillah, saya dan Ernie masih lagi rakan baik malah akan bekerjasama pada masa akan datang,” katanya.

PEMINAT mahu lihat Syamel & Ernie betul-betul bercinta.
PEMINAT mahu lihat Syamel & Ernie betul-betul bercinta.

RAMADAN DAN RAYA PADAT

Bagi Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, sambutan Ramadan dan raya kali ini paling padat dengan kerja.

“Hampir setiap hari kami ada program. Terbaru kami terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual baju. Kami pergi berniaga di Singapura, MAEP Serdang dan PWTC.

“Pendek kata, ini Ramadan yang paling sibuk yang pernah saya lalui sepanjang 27 tahun ini. Dalam masa sama, kami rancak mempromosikan lagu raya dan lagu duet terbaru kami.

“Walaupun jadual kerja padat, saya gembira sebab diberi perhatian sebegini juga adalah rezeki,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Ernie berkongsi, dia tidak akan melepaskan peluang berkunjung ke rumah Ziana Zain dan Anuar Zain yang juga ibu dan bapa saudaranya.

“Alhamdulillah, setiap tahun pagi raya saya bersama keluarga akan berkumpul di Bangsar terlebih dahulu. Selepas itu, baru buat keputusan nak pergi beraya di mana.

“Memandangkan Mak Long (Ziana) dan Pak Ngah (Anuar) pun beraya di sini, jadi itu antara rumah yang wajib dikunjungi pada raya pertama.

“Kebiasaannya juga, kami sekeluarga akan pulang ke kampung sebelah arwah nenek di Melaka pada raya kedua. Kami tidak ketinggalan menziarahi sanak-saudara yang masih ada di sana,” katanya.

Ernie turut berkongsi akan berkunjung ke rumah Syamel dan rakan artis lain di Kuala Lumpur.

“Setiap tahun saya akan berkunjung ke rumah rakan. Bukan setakat Syamel tetapi saya akan pergi ke rumah kawan artis lain juga. Apatah lagi kalau mereka buat rumah terbuka, memang saya takkan lepaskan peluang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 5:00 AM