SEDIKIT tekanan untuk hasilkan lagu duet lebih bagus daripada Aku Cinta.
SEDIKIT tekanan untuk hasilkan lagu duet lebih bagus daripada Aku Cinta.
Ramlah Zainal


Sukar menidakkan keserasian pasangan duet popular Syamel dan Ernie Zakri ketika menyampaikan lagu Aku Cinta pada Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32), Februari lalu.

Malah, kehebatan mereka terbukti apabila mengungguli Vokal Terbaik AJL32 pada malam anugerah berprestij yang berlangsung di di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.

Selepas kejayaan Aku Cinta, ramai peminat mahukan Syamel dan Ernie berganding lagi menerusi lagu duet terbaru pula.

Menurut Ernie, dia juga ada perancangan menghasilkan lagu duet terbaru bersama Syamel tidak lama lagi.

“Memang ramai peminat kami mahukan single duet terbaru selepas Aku Cinta. Setakat ini, saya selesa bekerjasama dengan Syamel. Kami sudah lebih dua tahun berkawan dan dia faham apa yang saya mahukan dalam lagu duet.

“Kami sudah berbincang untuk menghasilkan lagu duet terbaru itu.

“Selaku komposer, Syamel lebih tahu lagu yang dimahukan dan saya juga terbabit dalam pembikinannya.

“Sedikit tekanan untuk menghasilkan lagu duet yang lebih bagus daripada Aku Cinta tetapi yang penting hasilnya yang terbaik,” katanya.

Buat masa ini, kata bekas juara Bintang RTM 2009 ini, dia dan Syamel mahu fokus pada karier nyanyian solo terlebih dulu.

“Saya masih sibuk mempromosikan single Misteri yang juga ciptaan Gouffran dan Sang Hitam yang baru dilancarkan lebih dua bulan lalu.

“Setiap kali buat persembahan, saya akan menyanyikan single Misteri. Dalam tempoh tiga minggu dimuat naik di YouTube, single Misteri berjaya menarik 700,000 tontonan.

“Menyusul selepas ini, pihak pengurusan merancang mempromosikan single Misteri untuk diputarkan stesen radio pula,” katanya.

Bagi Syamel pula, sampai masanya dia melakukan pembaharuan untuk memastikan dirinya kekal relevan dalam bidang muzik tanah air.

Menjadikan Bruno Mars sebagai inspirasi, Syamel merancang menampilkan lagu berentak rancak selepas lima single terdahulu mengetengahkan genre balada.

“Untuk menjadi penyanyi ‘versatile’, saya perlu cuba lagu berentak lain.

“Saya juga dalam proses mencari material untuk single terbaru dan berharap ia dapat dilancarkan tahun ini,” katanya yang terbabit dengan rakaman program Akademi Fantasia Raya.

Kenang raya zaman kanak-kanak

Mengecapi populariti menerusi lagu duet Aku Cinta, pastinya sambutan Syawal cukup bermakna buat Ernie dan keluarganya tahun ini.

Namun, Ernie yang bercuti seminggu lebih suka meraikan Syawal secara sederhana setiap tahun.

“Baju raya sepasang saja kerana banyak buat baju untuk sesi fotografi raya dan undangan persembahan. Begitu juga biskut raya pun kami beli saja.

“Saya juga menyambut Aidilfitri bersama keluarga sebelah mama di Bangsar, Kuala Lumpur. Inilah masanya keluarga besar kami berkumpul kerana mama memiliki sembilan adik-beradik.

“Rumah pertama yang dikunjungi ketika raya ialah keluarga pak cik Zain. Pada hari raya kedua, barulah kami pulang beraya di kampung nenek di Merlimau, Melaka.

“Juadah wajib pagi raya mestilah rendang daging rempah air tangan mama dengan nasi impit,” katanya.

Setiap kali tibanya Aidilfitri, Ernie terkenang saat indah ketika beraya pada zaman kanak-kanak dulu.

“Semua sepupu termasuk dari Kelantan akan berkumpul bersama ketika raya. Maklumlah, usia kami lebih kurang sebaya dan suasana sangat meriah.

“Namun, apabila dewasa, kami tidak dapat lagi berkumpul seperti dulu kerana masing-masing sudah ada komitmen kerja dan keluarga,” katanya.

Tidak ketinggalan, Ernie juga muncul dalam beberapa program raya seperti Melodi, Muzik-Muzik, Meletop Raya dan Konsert Raya RTM.

Syamel imbau zaman kad raya

Sambutan Aidilfitri saat yang dinantikan Syamel untuk meraikannya bersama keluarga di Kuala Lumpur.

“Jika sebelum ini, saya terbabit dengan undangan persembahan di Putrajaya pada pagi raya tetapi tahun ini, saya dapat bersama keluarga di rumah.

“Apa yang menarik, jalan raya juga tidak sesak pada pagi raya di Kuala Lumpur,” katanya.

Ditanya persiapan Syawal, kata Syamel, dia juga lebih memberi tumpuan pada keluarganya tahun ini.

“Persiapan kali ini lebih untuk ibu bapa dan dua adik perempuan. Saya pula masih banyak baju raya yang belum dipakai pada tahun lalu,” katanya.

Mewakili generasi baru, Syamel juga teringin mengimbau zaman artis menerima banyak kad raya daripada peminat mereka.

“Saya difahamkan artis senior seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ella menerima seguni kad raya daripada peminat. Kini, zaman kad raya sudah diambil alih media sosial pula.

“Selain itu, saya memang teringin untuk menghasilkan lagu raya tetapi belum ada rezeki lagi tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:53 AM