KHAWLA makin bijak
KHAWLA makin bijak
Zaara Talita


Kelincahan dan keletah anak sulung pasangan selebriti, Syamel dan Ernie Zakri menyerikan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bukan hanya buat Syamel dan Ernie, malah si kecil Nur Khawla Soleha, 2, yang lebih mesra dengan sapaan Lala mempunyai kelompok peminat sendiri di media sosial.

Syamel berkata, keterujaan kali ini berkali ganda buat mereka memandangkan sambutan Aidilfitri pertama sebagai suami isteri sebelum ini terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

"Tahun ini Khawla sudah faham erti beraya dan bergaya memandangkan usianya juga sudah masuk dua tahun. Khawla akan menjadi penghibur buat keluarga dan sanak saudara.

"Bukan saja menyanyi, malah Khawla juga akan menari dan berjoget. Saya dan Ernie sudah menjangkakan duit raya yang lebih banyak berbanding tahun lalu. Insya-Allah tabung raya Khawla akan diadakan mengikut perancangan.

"Baru saya memahami keterujaan ibu dan ayah ketika dulu-dulu, begitu juga yang saya alami ketika ini. Baju raya Khawla sudah siap tersedia awal.

"Selepas selesai Khawla pula, baru saya dan Ernie mencari baju raya kami pula. Apa yang penting, kuih raya juga sudah siap awal supaya tidak kalut nanti," katanya.

AIDILFITRI
AIDILFITRI

Berkongsi mengenai perkongsian di media sosial, pasangan ini terbuka untuk berkongsi rasa bahagia mereka di samping menjadikan media sosial terutama Instagram sebagai album kenangan.

"Kami gembira untuk kongsikan rasa bahagia kami bersama Khawla walaupun pada awalnya kami ambil masa juga sebelum terbuka. Kami tak ada niat lain selain nak kongsikan yang baik-baik.

"Bagaimanapun, kami tidak berlebih-lebih dalam berkongsi. Ada kalanya saya rakamkan keletah Khawla yang mencuit hati, tapi tak semuanya kami muat naik ke Instagram," katanya.

Berkongsi detik melucukan ketika menyambut Aidilfitri tahun lalu, Syamel yang sibuk dengan urusan kerja menyerahkan sepenuhnya kepada Ernie untuk memilih tema baju raya.

Pemilihan berkenaan dianggap kurang berjaya kerana warna yang dipilih tidak sesuai dengan Syamel.

"Tahun lalu saya menyerahkan bulat-bulat kepada Ernie untuk memilih warna baju raya kami dan tona kuning dipilih. Bagaimanapun, warna berkenaan kurang sesuai dengan warna kulit saya. Hendak tukar pun sudah hampir dengan tarikh Aidilfitri.

"Nampak seperti 'minions' ramai-ramai pulang ke Melaka pula kerana bukan saya dan Ernie serta Khawla saja, malah seluruh keluarga Ernie menggayakan warna kuning itu.

"Memang jadi bahan gelak jika diimbas kembali kenangan beraya tahun lalu. Jadi, tahun ini biar saya saja yang memilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 6:49 AM