Sudirman Mohd Tahir


Seru lebaran merdu dilangit

Membelai jiwa di subuh hening

Dalam kasih ku menunggu

Saat manis kau dan aku.

ITU bait lagu raya berjudul Seru Hari Lebaran nyanyian pasangan penyanyi popular, Ernie Zakri dan Syamel pada 2019 iaitu sebelum mereka berkahwin.

Kini, Syawal yang diraih memberi makna tersendiri kerana buat pertama kali meraikan Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri.

Tidak lagi perlu menunggu bertamu kerana pagi Syawal ini mereka sudah sedia bermaaf-maafan tanda kasih sepenuh hati.

Biarpun Aidilfitri kali ini sekali lagi disambut dalam suasana norma baharu, Ernie dan Syamel tetap mahu menjadikan Syawal ini pengalaman dan detik manis buat mereka.

Bagi Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, tahun pertama menyambut Aidilfitri sebagai suami isteri bakal menjadi memori terindah mereka.

"Apabila kerajaan umumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai semalam, kami tiada pilihan kerana kami tinggal di Kuala Lumpur, keluarga saya di Klang, Selangor dan mentua pula di Ampang, Selangor. Semuanya daerah berbeza.

"Kalau boleh nak berlaku adil dengan keluarga masing-masing. Apatah lagi kami masing-masing sangat rapat dengan keluarga. Sejujurnya kedua-dua ibu bapa kami sangat memahami.

TAHUN pertama menyambut Aidilfitri sebagai suami isteri.
TAHUN pertama menyambut Aidilfitri sebagai suami isteri.

"Sebelum pengumuman PKP, ada juga bergurau dengan Syamel nak beraya di rumah keluarga siapa dulu. Tapi, ia tidak dijadikan satu keputusan. Cuma, kebiasaannya dalam apa juga perkara kami banyak berbincang dan setiap keputusan adalah yang terbaik dan tak ganggu mana-mana pihak," katanya.

Apa yang pasti bagi Ernie, dia dan Syamel beraya bersama terlebih dahulu memandangkan mereka baharu sahaja berpindah ke rumah sendiri.

"Sangat lain perasaan ada keluarga sendiri. Ia sangat beza untuk saya. Kalau dulu mak sediakan semua. Esok pagi semua makanan sudah siap masak. Apabila sudah menggalas tanggungjawab sebagai isteri, jadi saya masih menyesuaikan diri. Rumah pun baharu lagi pasang langsir, beli katil dan barangan lain.

"Jadi, persiapan sederhana saja sebab baharu pindah. Kalau nak kata ada rumah terbuka pun memang tidak dibenarkan. Macam warna tema, agak teruja juga sebab pertama kali nak pakai sedondon. Sebelum ini tak pernah lagi.

"Kami tak sediakan banyak baju. Kebanyakan baju yang ada untuk menghadiri acara. Bagi kami, cukup sehelai saja untuk hari raya pertama. Sebab pada sebelah petang mesti dah tukar persalinan lain," katanya.

MAHU jadikan Syawal ini pengalaman dan detik manis buat mereka.
MAHU jadikan Syawal ini pengalaman dan detik manis buat mereka.

Belum bulan madu sepenuhnya

Selepas berkahwin pada 26 Mac lalu, mereka belum berkesempatan untuk menikmati kehidupan sebagai suami isteri sepenuhnya disebabkan jadual kerja yang padat.

Syamel berkata, mereka bersyukur kerana hampir dua bulan bergelar suami isteri.

"Selepas kahwin, kami terus bekerja. Jadi, tak ada masa lagi untuk menikmati kehidupan sebagai suami isteri. Ada rakaman program Romantika di Langkawi pun, ia masih dikira bekerja. Tak ada 'feel' berbulan madu.

"Mungkin selepas raya baharu boleh rancang. Kalau dapat nak luangkan masa sebanyak mungkin. Bukan pergi bekerja. Tak nak ada rakaman dan penggambaran. Cuma masa tak ada lagi. Itu pun sekiranya kerajaan mengumumkan aktiviti pelancongan dibuka. Sekiranya boleh, dapat keluar dari Kuala Lumpur pun okay. Sebagai contoh mungkin di Janda Baik," katanya.

BELUM berkesempatan nikmati kehidupan sebagai suami isteri sepenuhnya disebabkan jadual kerja yang padat.
BELUM berkesempatan nikmati kehidupan sebagai suami isteri sepenuhnya disebabkan jadual kerja yang padat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 6:00 AM