ELIZABETH Tan beraksi lasak sebagai penyiasat dalam Abang Long Fadil 3. FOTO: Mahzir
ELIZABETH Tan beraksi lasak sebagai penyiasat dalam Abang Long Fadil 3. FOTO: Mahzir
Ridzuan Abdul Rahman


SAAT ini, Elizabeth Tan mampu tersenyum girang kerana namanya semakin berupaya memikat peminat.

Sukses dengan beberapa single antaranya Knock Knock, Tabah, Setia, Police Entry dan terbaru Semua Sudah, Elizabeth kini aktif melebarkan sayap dalam bidang lakonan pula.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Lizzy pernah membintangi filem Misteri Dilaila bergandingan dengan Zul Ariffin, arahan Syafiq Yusof.

Terbaharu, Lizzy sekali lagi diberikan peluang oleh Syafiq bagi membintangi filem aksi komedi Abang Long Fadil 3.

“Penggambarannya sedang berlangsung dan dijangka Abang Long Fadil 3 akan ditayangkan tahun depan.

“Tak dinafikan ia filem yang menghiburkan dan penonton akan suka apabila menonton. Malah saya sangat teruja untuk melihat peminat menyaksikannya nanti,” katanya.

Lizzy, 26, berkata, dia gembira diberikan watak impian yang memerlukan dia beraksi lasak dan terbabit dalam babak pertarungan.

“Sudah lama saya inginkan watak begini. Saya bawa watak seorang penyiasat. Penggambarannya tinggal sebulan lagi untuk dihabiskan.

“Filem Abang Long Fadil 3 menampilkan pelakon utama iaitu Zizan Razak, Johan dan Ozlyn yang tampil dalam sisi komedi,” katanya.

Menurut Lizzy, wataknya memerlukan dia beraksi dalam karakter serius.

“Saya tak terbabit buat komedi kerana itu tugas Zizan, Johan dan Ozlyn.

“Namun, tak dinafikan saya susah berlakon dalam babak bersama mereka kerana banyak gelak.

“Pengalaman di set amat seronok dengan keletah mereka. Apapun saya suka berlakon dan tak kisah kena tunggu lama di lokasi,” katanya.

Mengulas karier nyanyian, Lizzy mengakui ia terpaksa direhatkan seketika kerana mahu fokus berlakon. “Selepas semuanya selesai, saya rancang mahu hasilkan lagu Bahasa Inggeris.

“Lagunya belum ada tapi kami sedang berusaha dapatkan demo penerbit dari Los Angeles.

“Promosi untuk single Semua Sudah pun dah selesai dan sekarang saya biarkan lagu itu jalan sendiri,” katanya.

Menurutnya, penerimaan peminat terhadap lagu itu juga amat positif.

“Apabila pergi ke mana-mana pun, mereka pasti menyanyikan lagu ini. Saya sentiasa pilih lagu yang sesuai dengan kemampuan vokal.

“Saya tak boleh menyanyikan lagu yang bernada tinggi dan sukakan konsep pop,” katanya.

Lizzy mengakui teringin menyanyikan lagu jazz atau karya seperti ciptaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee antaranya Getaran Jiwa tetapi bimbang radio tidak memainkannya.

“Saya nak sangat bekerja dengan Joe Flizzow. Saya dah tanya dia tapi tahun ini dia sangat sibuk. Mungkin tahun depan saya dapat bekerjasama dengan Joe kalau ada rezeki,” katanya.

Dalam pada itu, Lizzy kini dilantik sebagai duta produk makanan kucing jenama Powercat.

LIZZY menamakan kucingnya, Mizan sempena nama bekas teman lelaki pertama.
LIZZY menamakan kucingnya, Mizan sempena nama bekas teman lelaki pertama.

“Saya ada pelihara kucing Parsi yang baru berusia tiga bulan. Saya memilih menamakan kucing ini Mizan sempena nama bekas teman lelaki pertama. Dia pernah tunjuk satu video kucing yang akan saya ingat buat selamanya.

“Jadi saya letakkan nama Mizan sekadar suka-suka sebagai tanda ingatan dan tiada niat lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 6:00 AM