LIZZY rasa puas bila berlakon. FOTO Mahzir Mat Isa
LIZZY rasa puas bila berlakon. FOTO Mahzir Mat Isa
Amirul Haswendy Ashari


LIMA tahun dikurniakan ruang sebagai penyanyi, Elizabeth Tan, 26, atau mesra disapa Lizzy mula berasakan dunia lakonan lebih memberi kepuasan.

Malah, sejak ‘terjebak’ dalam bidang lakonan menerusi filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium pada 2015, Lizzy mulai kencang berlakon dalam beberapa drama.

“Sebenarnya saya lebih sukakan bidang lakonan kerana pernah aktif dalam pementasan drama ketika bersekolah dan menuntut di kolej.

“Nampaknya rezeki lebih murah dalam bidang nyanyian walaupun saya sebenarnya sangat gemuruh ketika menyanyi secara langsung di atas pentas kecuali dalam studio rakaman,” katanya.

Lizzy yang kini dikenali menerusi drama Senafas Rindu bergandingan dengan Syafiq Kyle mengakui tawaran berlakon yang diperoleh menjadikan dia mahu lebih serius sebagai pelakon.

Namun, untuk betul-betul serius dan bakat diperakui sebagai pelakon, dia perlu menimba sebanyak mungkin pengalaman di set penggambaran.

MUNCUL dengan single terbaru berjudul Semua Sudah. FOTO Mahzir Mat Isa
MUNCUL dengan single terbaru berjudul Semua Sudah. FOTO Mahzir Mat Isa

Disebabkan itu, dia mahu mengaut apa saja peluang yang ada untuk berlakon, baik untuk telefilem, drama dan filem.

Katanya, setakat ini dia belum berkesempatan untuk menghadiri kelas lakonan bersama guru lakonan tempatan.

“Saya benar-benar mahu fokus dalam lakonan. Sikap malu menyebabkan saya agak canggung beraksi di atas pentas. Walaupun sudah lima tahun menyanyi, saya masih gemuruh di pentas.

“Jika ada pilihan antara persembahan pentas dan menulis lagu, saya pilih menulis lagu cuma belum berkeyakinan mahu menulis lagu untuk penyanyi lain kecuali untuk diri sendiri,” katanya.

Diam tak diam, Lizzy yang baru saja muncul dengan single berjudul Semua Sudah pada Januari lalu menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi rap popular, Joe Flizzow.

Namun, dia sedar Joe sangat sibuk dengan kerja studio selain menerbitkan lagu untuk penyanyi rap lain.

“Kalau tidak dapat Joe, mungkin nak dekati penyanyi rap lain seperti Aman Ra atau SonaOne,” katanya.

Tidak suka tonton genre seram

Antara sebab gadis jelita tinggi lampai ini tidak suka genre seram adalah kerana dia memiliki imaginasi tinggi sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur.

Namun, peluang bekerja dengan Skop Production Sdn Bhd, Lizzy terpaksa ‘pejam mata’ menerima tawaran berlakon dalam filem genre seram terbaharu berjudul Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof.

“Ini filem kedua saya selepas Usop Wilcha Menghongjang Makhluk Muzium. Watak saya tidaklah berat cuma perlu bermain dengan ekspresi dan bermandi darah. Ia memang merimaskan.

“Realitinya, saya tidak suka dan tak pernah pun menonton cerita hantu. Kalau tengok, mesti saya akan terbawa-bawa ke dalam mimpi hingga susah nak tidur,” katanya.

Namun, dia bersyukur sepanjang penggambaran Misteri Dilaila, dia banyak belajar daripada penolong pengarah.

Selain itu, Lizzy juga lebih berani kerana Syafiq banyak menyuntik keyakinan kepadanya untuk menghidupkan watak sebagai isteri Jefri lakonan Zul Ariffin.

“Kebanyakan penggambaran berlangsung pada waktu malam, malah rumah banglo tempat yang menjadi premis penggambaran adalah sebuah rumah yang sudah lama ditinggalkan,” katanya.

Misteri Dilaila turut menampilkan lakonan Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Nor, Nam Ron, Keji Sawahi dan Mas Khan.

Filem yang menjalani penggambaran di Bukit Fraser tahun lalu ini bakal ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 21 Februari ini.

MASIH gemuruh buat persembahan secara ‘live’. FOTO Mahzir Mat Isa
MASIH gemuruh buat persembahan secara ‘live’. FOTO Mahzir Mat Isa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:31 AM