KHAIRUL HAFIZ JANTAN
KHAIRUL HAFIZ JANTAN
Aida Adilah Mat


Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim yakin juara pecut 100 meter (m) Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz Jantan mampu kembali ke puncak prestasinya untuk mewakili negara ke temasya sama di Filipina, hujung tahun ini.

Malaysia ketika ini mempunyai lima pelari pecut yang sudah melayakkan diri dan hanya dua terbaik yang akan beraksi dalam acara 100 meter (m).

Mereka terdiri daripada Muhammad Aqil Yasim, Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa, Russel Alexander Nasir Taib dan Khairul Hafiz.

Khairul Hafiz masih belum beraksi di mana-mana kejohanan sejak Januari lalu kerana masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan lutut dan betis kanan.

Kata Poad, tiada apa yang perlu dibimbangkan, malah beliau yakin dengan kemampuan Raja Pecut Asia Tenggara itu untuk menjadi yang terbaik di negara ketika ini.

“Insya-Allah, Khairul akan kembali beraksi selepas Aidilfitri. Saya akan merancang latihan khas untuk Khairul dan mungkin dia akan berlatih berasingan berbanding atlet lain. Saya akan mengasingkan waktu latihan untuk atlet yang sudah layak ke Sukan SEA,” katanya.

Poad menegaskan, beliau yakin Khairul mampu menjadi antara dua pelari utama negara yang akan mewakili negara ke temasya Filipina dengan Jonathan yang kini sedang menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS) perlu diberi perhatian.

“Bagi saya, atlet yang perlu diberi tumpuan adalah Jonathan kerana Russel lebih kepada acara 200m. Manakala bagi Aqil, saya tahu prestasinya. Tapi jika boleh, sebenarnya saya mahu membawa Khairul menjalani latihan di luar negara mungkin ke Jepun atau AS kerana lebih banyak pendedahan, lebih baik baginya untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

Terdahulu Khairul Hafiz yang mencatat 10.38s di KL2017 dilihat bergelut mempertahankan kejuaraan acara berkenaan di Sukan SEA Filipina dengan kehadiran juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:45 AM