Khairul Hafiz uji prestasi di Napoli. FOTO fail NSTP
Khairul Hafiz uji prestasi di Napoli. FOTO fail NSTP
Aida Adilah Mat


SEJAUH mana kemampuan atlet pecut negara Khairul Hafiz Jantan akan diketahui hari ini apabila dia turun beraksi dalam acara 100 meter (m) di Sukan Universiti Dunia di Napoli, Itali.

Selepas berehat sekian lama ekoran kecederaan yang dialaminya sejak awal tahun lalu, raja pecut Asia Tenggara itu kembali menghangatkan trek.

Bagaimanapun tiada sasaran tinggi diletakkan oleh jurulatih Khairul Hafiz, Mohd Poad Md Kassim selain mahu melihat anak didiknya itu kembali mendapat rentak larian.

Poad mahu Khairul Hafiz memberi yang terbaik dan jika boleh mencatatkan masa sekitar 10.40s kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

"Syukur sebab sepanjang latihan dia dapat buat dengan baik walaupun masih belum 100 peratus kerana baru pulih daripada kecederaan.

"Tapi saya puas hati dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh Khairul Hafiz dan apa yang penting dia kini bebas daripada sebarang kecederaan," katanya.

Selain daripada Khairul Hafiz turut beraksi dalam acara riben biru itu adalah Jonathan Nyepa.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18s itu akan turut membarisi kuartet 4x100m bergandingan bersama Jonathan, Muhammad Aqil Yasmin dan Russel Alexander Nasir Taib.

Kejohanan di Napoli itu juga akan menjadi kayu pengukur kepada program yang dirangka oleh Institut Sukan Negara (ISN) buat Khairul Hafiz dalam usaha bentuk rangka tubuh yang lebih mantap agar dapat menyaingi kelajuan pelari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz, 10.18 s yang diciptanya pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak pada Julai 2016.

Ketika menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara pecut 100m di KL2017, Khairul Hafiz mencatat 10.38s mengatasi pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:18 PM