FASHA SANDHA dan Aidil Aziz rancak melakukan persiapan majlis nikah dan sambut menantu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
FASHA SANDHA dan Aidil Aziz rancak melakukan persiapan majlis nikah dan sambut menantu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Amirul Haswendy


PASANGAN selebriti Nur Fasha Sandha, 34, dan Aidil Aziz, 32, mahu mengambil langkah berhati-hati untuk mengumumkan tarikh akad nikah mereka yang dijangka berlangsung penghujung bulan ini.

Ia susulan kad jemputan majlis sambut menantu yang berlangsung di kampung halaman Aidil di Rembau pada 6 April nanti tular di media sosial baru-baru ini.

Bakal suami isteri itu ditemui pada sesi ujibakat siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di Sri Pentas hari ini berkata, mereka tidak boleh mengelak daripada keadaan itu berlaku.

“Saya mempunyai ramai saudara mara dan kena menyerahkan jemputan secepat mungkin kerana bimbang bertembung dengan kenduri saudara mara lain.

“Tak sangka ia tular dan sebab itulah saya tidak berani mengumumkan tarikh nikah kerana belum bersedia,” kata Aidil menjemput 5,000 tetamu pada majlis itu nanti.

Aidil berkata persiapan untuk hari bahagia mereka berbaki kurang 50 peratus saja lagi.

Bagaimanapun, untuk majlis akad nikah di kampung halaman Fasha di Perlis pula masih banyak perkara belum diselesaikan.

Fasha berkata setakat ini hanya perancang perkahwinan saja yang sudah ditempah dan perkara lain masih belum diputuskan lagi.

“Saya agak sibuk dan perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Perlis. Tambahan pula saya sangat cerewet dan teliti terutama bab makanan yang dihidangkan kelak.

“Umum tahu, kalau pergi kenduri kahwin, selalunya orang akan bercakap mengenai makanan dan kalau tidak menepati cita rasa, pasti ia akan potong ‘mood’,” kata Fasha.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan dalam satu acara tertutup di kediaman Fasha di Ampang pada 18 November tahun lalu.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 5:33 PM